Tiada lagi mati.



Tiada lagi mati.

Kau merangkak perlahan. Kau cuba bangun berjalan seperti biasa. Kau tidak berdaya. Seakan ada tenaga kuat menekan tulang belakang kau hingga tidak mampu berdiri. Menahan kesakitan terpaksa berjalan dengan kaki dan tangan begitu. Berapa lama sudah kau dalam keadaan begitu sudah tak mampu difikirkan. Seakan baru petang semalam kau duduk di meja makan malam bersama suami dan anak-anak tercinta. Seakan baru semalam ketika azan maghrib berkumandang, kau dan suami membawa anak-anak menonton wayang cerita kegemaran mereka.

Bezanya hari ini kau tiada lagi bersama mereka. Di hadapan kau kini ada ramai manusia dalam keadaan pelbagai rupa. Ada yang merangkak seperti kau. Merangkak begitu tanpa seurat benang di badan. Ada yang berjalan kaki. Ada yang menaiki kenderaan. Ada yang terseret-seret langkah mereka. Ada yang wajahnya di tanah dan kaki ke atas seolah-olah berjalan dengan muka. Kau perhati mereka dalam keadaan telanjang begitu rupa dalam keadaan jutaan manusia. Sudah hilang malu kau di hadapan mata-mata yang ada. Ya. Kerana mereka tidak langsung perhatikan kau. Mereka seakan sedang terlalu memikir sesuatu yang lebih penting dari melihat tubuh bogel manusia di hadapan mereka. Kau sendiri tak mampu fikir di mana suami kau? Di mana anak-anak kau? Apa yang sedang berlaku?

          Tiba-tiba kau rasa ada cecair melekit di kaki. Mula meninggi paras cecairnya seiring lajunya curahan peluh yang keluar dari tubuh. Pancaran terik mentari betul-betul kau terasa berada atas kepala. Kau tidak selesa. Hanyir cecair itu mula menusuk hidung. Arasnya sudah mencecah ke paras pinggang. Nafas kau mula mencungap-cungap. Tidak mampu berfikir. Kau mahu selamatkan diri. Kau tidak mahu lemas dalam cairan busuk itu. Tetapi ke mana sahaja kau melangkah, cecair itu tetap berada di kaki kau. Tak boleh dipisahkan. Kekal berada di kaki kau walau di mana sahaja kau berdiri.

          “Ah, sakit! Sakit!” Kau tertoleh ke raungan suara itu. Kulitnya melepuh keseluruhannya menjadi hitam, hangus dan kering. Gugur satu persatu. Kemudian kau perhatikan kulitnya tumbuh yang baru, menjadi tubuh yang sama. Setiap kali tumbuh kulit yang baru, setiap kali itu jugalah dia meraung kesakitan yang sama berulang kali. Kulitnya kembali hitam, hangus, terbakar dan gugur kembali. Seksaan apakah ini?

          Jantung kau berdebar kencang melihatkan keadaan itu. Hari apakah ini? Fikiran kau masih tidak dapat memproses apa yang sedang terjadi. Air mata kau merambu keluar tidak tertahan. Apakah yang sedang berlaku? Cecair likat pekat yang tadi paras pinggang kini sudah mencapai dada. Kau seolah berdiri dalam akuarium kau sendiri. Dan orang lain mempunyai akuarium mereka sendiri. Menakung cecair lendir dan peluh sendiri.

          “Abang! Tolong sayang, abang!” Kau jerit sekuat hati mencari suami yang kau sendiri tidak pasti di mana dia berada. Namun hampa, jeritan kau hanya sia-sia.

          Tiba-tiba kau terasa ada sesuatu berada di genggaman kiri. ‘Buku apakah ini?’ Kau membelek satu-persatu helaian yang ada.

          “Aduhai, celaka betullah! Ini senarai perbuatan yang aku buat dulu!” Kau mengongoi sendirian. Mencelakakan diri sendiri.

Satu persatu perkara yang dilakukan ketika di dunia bermain di kepala. Kau tidak mampu mengawal diri. Kalaulah kau dengar pesanan mak dan ayah. Kalaulah kau tidak perlekehkan nasihat sahabat kau. Sekarang, tiada apa lagi yang kau boleh buat selain mengharap ada kematian lagi sekali yang membebaskan kau dari semua ini. Kau mengharap peluang lagi sekali. Kau telah melihat seksaan. Kau telah mendengar raungan dan pekikan neraka. Kau telah merasa ketakutan hanya dengan mendengar pekikannya sahaja. Mana mungkin kau boleh menahan kesakitan azab di dalamnya. Kau merayu kepada Tuhan agar dipulangkan ke dunia untuk beramal soleh sebaiknya kerana hari ini kau baru yakin dengan apa yang Tuhan kau sampaikan dalam kitab yang selama kehidupan di dunia, kau remehkan kewujudannya.

Namun kau lupa, tiada lagi kematian apabila kau telah dibangkitkan di saat ini. Yang ada hanyalah kehidupan yang abadi. Tiada lagi mati. Kau akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang telah kau lakukan ketika di dunia. 

وَقَالُوا لَوْ كُنَّا نَسْمَعُ أَوْ نَعْقِلُ مَا كُنَّا فِي أَصْحَابِ السَّعِيرِ

Dan mereka berkata: “Sekiranya kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) niscaya tidaklah kami termasuk penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala”.” (QS. Al-Mulk: 10)




          Disclaimer: "Kau" merujuk diri penulis sendiri. Setiap teguran dari Al Quran, aku bayangkan teguran itu untuk diri aku sendiri. Setiap kali aku membaca penulisan "kau" di sini, seakan merujuk kepada diri aku sendiri. Moga Allah ampunkan aku.

Comments

Post a Comment