Kau merangkak perlahan. Kau cuba bangun berjalan seperti biasa. Kau
tidak berdaya. Seakan ada tenaga kuat menekan tulang belakang kau hingga tidak
mampu berdiri. Menahan kesakitan terpaksa berjalan dengan kaki dan tangan
begitu. Berapa lama sudah kau dalam keadaan begitu sudah tak mampu difikirkan.
Seakan baru petang semalam kau duduk di meja makan malam bersama suami dan
anak-anak tercinta. Seakan baru semalam ketika azan maghrib berkumandang, kau
dan suami membawa anak-anak menonton wayang cerita kegemaran mereka.
Bezanya hari ini kau tiada lagi bersama mereka. Di hadapan
kau kini ada ramai manusia dalam keadaan pelbagai rupa. Ada yang merangkak seperti
kau. Merangkak begitu tanpa seurat benang di badan. Ada yang berjalan kaki. Ada
yang menaiki kenderaan. Ada yang terseret-seret langkah mereka. Ada yang wajahnya
di tanah dan kaki ke atas seolah-olah berjalan dengan muka. Kau perhati mereka
dalam keadaan telanjang begitu rupa dalam keadaan jutaan manusia. Sudah hilang
malu kau di hadapan mata-mata yang ada. Ya. Kerana mereka tidak langsung
perhatikan kau. Mereka seakan sedang terlalu memikir sesuatu yang lebih penting
dari melihat tubuh bogel manusia di hadapan mereka. Kau sendiri tak mampu fikir
di mana suami kau? Di mana anak-anak kau? Apa yang sedang berlaku?
Tiba-tiba kau rasa ada
cecair melekit di kaki. Mula meninggi paras cecairnya seiring lajunya curahan
peluh yang keluar dari tubuh. Pancaran terik mentari betul-betul kau terasa berada atas kepala. Kau tidak selesa. Hanyir cecair itu mula menusuk hidung. Arasnya
sudah mencecah ke paras pinggang. Nafas kau mula mencungap-cungap. Tidak mampu
berfikir. Kau mahu selamatkan diri. Kau tidak mahu lemas dalam cairan busuk
itu. Tetapi ke mana sahaja kau melangkah, cecair itu tetap berada di kaki kau.
Tak boleh dipisahkan. Kekal berada di kaki kau walau di mana sahaja kau berdiri.
“Ah, sakit! Sakit!” Kau tertoleh
ke raungan suara itu. Kulitnya melepuh keseluruhannya menjadi hitam, hangus dan
kering. Gugur satu persatu. Kemudian kau perhatikan kulitnya tumbuh yang baru,
menjadi tubuh yang sama. Setiap kali tumbuh kulit yang baru, setiap kali itu jugalah
dia meraung kesakitan yang sama berulang kali. Kulitnya kembali hitam, hangus,
terbakar dan gugur kembali. Seksaan apakah ini?
Jantung kau berdebar
kencang melihatkan keadaan itu. Hari apakah ini? Fikiran kau masih tidak dapat
memproses apa yang sedang terjadi. Air mata kau merambu keluar tidak tertahan. Apakah
yang sedang berlaku? Cecair likat pekat yang tadi paras pinggang kini sudah
mencapai dada. Kau seolah berdiri dalam akuarium kau sendiri. Dan orang lain
mempunyai akuarium mereka sendiri. Menakung cecair lendir dan peluh sendiri.
“Abang! Tolong sayang,
abang!” Kau jerit sekuat hati mencari suami yang kau sendiri tidak pasti di
mana dia berada. Namun hampa, jeritan kau hanya sia-sia.
Tiba-tiba kau terasa ada
sesuatu berada di genggaman kiri. ‘Buku apakah ini?’ Kau membelek satu-persatu
helaian yang ada.
“Aduhai, celaka betullah!
Ini senarai perbuatan yang aku buat dulu!” Kau mengongoi sendirian. Mencelakakan
diri sendiri.
Satu persatu perkara yang dilakukan ketika di dunia
bermain di kepala. Kau tidak mampu mengawal diri. Kalaulah kau dengar pesanan mak
dan ayah. Kalaulah kau tidak perlekehkan nasihat sahabat kau. Sekarang, tiada
apa lagi yang kau boleh buat selain mengharap ada kematian lagi sekali yang
membebaskan kau dari semua ini. Kau mengharap peluang lagi sekali. Kau telah
melihat seksaan. Kau telah mendengar raungan dan pekikan neraka. Kau telah
merasa ketakutan hanya dengan mendengar pekikannya sahaja. Mana mungkin kau
boleh menahan kesakitan azab di dalamnya. Kau merayu kepada Tuhan agar
dipulangkan ke dunia untuk beramal soleh sebaiknya kerana hari ini kau baru
yakin dengan apa yang Tuhan kau sampaikan dalam kitab yang selama kehidupan di
dunia, kau remehkan kewujudannya.
Namun kau lupa, tiada lagi kematian apabila kau telah
dibangkitkan di saat ini. Yang ada hanyalah kehidupan yang abadi. Tiada lagi
mati. Kau akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang telah kau lakukan ketika di dunia.
وَقَالُوا لَوْ كُنَّا
نَسْمَعُ أَوْ نَعْقِلُ مَا كُنَّا فِي أَصْحَابِ السَّعِيرِ
“Dan mereka berkata: “Sekiranya
kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) niscaya tidaklah kami
termasuk penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala”.” (QS.
Al-Mulk: 10)
Disclaimer: "Kau" merujuk diri penulis sendiri. Setiap teguran dari Al Quran, aku bayangkan teguran itu untuk diri aku sendiri. Setiap kali aku membaca penulisan "kau" di sini, seakan merujuk kepada diri aku sendiri. Moga Allah ampunkan aku.

.png)
Menjentik rasa
ReplyDelete