Bagaimana aku mula menulis manuskrip solo pertamaku?

 


Bagaimana aku bermula untuk menulis?



Seingat aku, sebaik sahaja meletakkan surat perletakkan jawatan di hadapan Matron Rusnah ketika itu, aku mahu melupakan semua perkara. Pulang saja ke rumah, nampak aku ceria dengan anak-anak. Tetapi hati bagai dicarik-carik.



Aku tak boleh lupa. Setiap malam, aku mimpi buruk tentang anak anak. Sampai ada ketika, aku tidak tidur langsung. Aku hanya terkebil-kebil memerhatikan anak-anak yang sedang tidur.



Kerja gila apabila masuk 48 jam aku tidak tidur, aku mula memarahi anak-anak. Ada saja ruang kesilapan mereka, aku ambil peluang untuk marah dan pukul mereka. Itu adalah sisi gelap yang aku tak mampu nak cerita. Aku tak mampu nak tidur kerana aku sentiasa didatangi mimpi aku membunuh seseorang kemudian aku ditangkap. Dan mimpi itu terhenti di situ.



"Cubalah luahkan apa yang terpendam .." kata kawan doktor aku ketika aku bertanya tentang masalah ini.



Sehinggalah aku pergi ke bengkel Mak Sri Diah Shaharuddin , bengkel mengenai kisah hidup. Ketika itu, memang aku menyimpan kesemua jurnal dan diari harian aku berperang dengan semua mimpi ngeri dan nostalgia hitam. Apabila Mak beri tugas untuk selesaikan satu kisah dalam 5 muka surat dalam satu minggu, ianya sepatutnya kerja mudah, sebab aku dah ada isi. Tetapi, sebenarnya ia tak semudah bagai yang disangka. Aku bergelut dengan emosi.





“Kau dah gila ke nak cerita semua tu pada orang?” Satu sisi lain aku bertanya kepada diri aku sendiri.



“Kenapa pula tak boleh? Soal ini, aku bukan buat jahat..”

“Kau tak malu kalau orang kasihankan kau?”



“Aku bukan nak orang kasihankan aku, tapi aku kasihankan mereka yang tak tahu cerita aku, lalu mereka pun terjebak sama..”



Terus hilang suara jahat itu. Dan aku menulis kisah pertama di dalam buku Antologi Tuhan, Terima Kasihku Seluas Lazuardi.



Kemudian, rasa sakit hati itu tidak terhenti di situ. Aku masih tak mampu nak mengatasi rasa marah kepada anak ini. Aku selalu beranggapan anak ini yang jadi penghalang untuk aku berjaya.



Aku selalu beranggapan anak ini menyekat kebebasan untuk aku bergerak ke mana-mana. Sebenarnya, aku lupa. Anak ini adalah misi utama aku dalam hidup. Aku tak perasan yang itu. AKu cuma mengejar kebahagiaan dunia, sampai aku lupa, bahagia dunia itu sementara saja.



Hinggalah satu hari aku pergi ke bengkel Cikgu Jinggo. Siapa yang pernah pergi bengkel Gamification Cikgu Jinggo, mesti tahu cara cikgu Jinggo punya penyampaian.



Antara ayat cikgu Jinggo yang berbekas di hati aku sampai sekarang ialah, “Kalau ada anak, jangan pernah siakan emosi anak. Jangan pernah membandingkan anak. Dengar apa luahan anak. Anak jadi memberontak, kerana ada sesuatu yang tidak dilepaskan dari hatinya..”



Itulah saat turning point aku untuk membebaskan diri dari tragedi hitam ini. Mungkin untuk orang lain, meletakkan jawatan bukanlah sampai jadi satu tragedi. Tetapi bagi aku, ini adalah tragedi hitam. Kerana mulai saat aku berhenti kerja itu jugalah, secara automatik aku akan berhenti belajar juga. Kerana aku belajar menggunakan duit gaji yang aku terima setiap bulan. Dan sehingga sekarang, aku masih terikat dengan universiti tersebut untuk bayar yuran tertunggak.



Aku fikir aku sedang buat pilihan yang betul. Ketika itu, Cikgu Jinggo panggil sesiapa sahaja peserta untuk berkongsi penghargaan kepada sesiapa sahaja yang mereka suka. Aku bangun dan entah kenapa, itulah kali pertama aku beritahu kepada umum kenapa aku berada di bengkel itu.



“Saya nak ucapkan terima kasih kepada Cikgu Jinggo kerana membuka minda saya untuk terus melangkah ke depan. Jangan terus terikat dengan masa silam. Saya tak nak terus merosakkan anak saya dengan terus mengingati kisah itu. Dan untuk pengetahuan semua, saya sebenarnya sedang berjuang untuk depression saya pasca resign kerana anak saya telah..” terus beramburan air mata depan peserta.



Dan itulah kali pertama aku beritahu secara umum kenapa aku meletakkan jawatan.

Dan itulah kali pertama aku tak merasa malu nak ceritakan.

Dan itulah kali pertama aku bersedia untuk meluahkan tentang apa yang telah berlaku.





Itu yang menjadi penguat untuk aku terus menulis karya Matron, Saya Nak Resign.

 

Ketika ada pihak yang cuba kata, “aku rasa kau tak patut cerita..”, aku tegas dengan pendirian, mereka semua kena tahu apa yang sedang berlaku dalam masyarakat kita. Aku tidak mahu hidup dalam keadaan mendiamkan perilaku pemangsa.



Setiap muka surat yang ditaip, tiada satu pun yang aku tidak mengalirkan air mata. Sesak jiwa raga bagai nak pecah kepala, menangis. Tetapi aku gigihkan juga demi kesihatan mental aku. Aku tak nak mahu berlamaan memendam kisah ini sendirian. Aku nak mereka tahu. Aku tak bersalah. Bukan anak aku yang bersalah. Tiada yang salah. Emak budak yang melakukan perbuatan itu pun tidak bersalah. Habis siapa yang salah?



Kita semua.

Kerana rasa selesa menormalisasikan pornografi dan kelucahan di mana-mana.

Sama ada di media social, perbualan harian, sekolah atau di mana-mana.
Hatta di depan anak kecil pun, ada yang sudah tidak malu.



Natijahnya, setiap dari kita, berpotensi untuk jadi mangsa.

Kerana pemangsa takkan pernah cerewet memilih mangsa.

Kerana ada ketika, pemangsa itu dari kalangan kita juga.

Kerana ada ketika, pemangsa itu datang dari orang yang anak kita percaya.



Hanya tinggal kita, mahu bertindak mengubah rentak atau masih terus di takuk lama.

Berdiam diri hanya kerana menjaga air muka.

Hak anak untuk selamat dan dijaga maruah mereka, kita buat lupa dan pejam mata.



Buku ini, aku dedikasikan khas buat semua mangsa yang sedang berjuang setiap hari meneruskan kehidupan. Aku doakan kalian sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Tuhan.

Bangkitlah. Jangan biarkan pemangsa terus menyeringai memburu mangsa seterusnya.



Aku, tetap masih berjuang. Dengan emosi sendiri.

Moga Allah bantu kita dan aku. Jiwa kadang tidak selalu kuat, kadang rapuh dan boleh jadi terus hancur.





Hanya Allah yang mampu kuatkan jiwa aku dari terus lebur.
Hanya Allah yang mampu kuatkan jiwa aku dari terus terkubur.
Tiada daya dan usaha aku, melainkan hanya Allah sahaja yang menguatkan aku.





Matron, Saya Nak Resign.

Karya paling mahal yang aku persembahkan kepada kalian.

Kerana ia menuntut aku untuk membuang rasa malu dan memaksa aku untuk menggali semula memori hitam itu.





Inilah antara cebisan kenangan pengalaman menulis kisah hidup di bawah bimbingan Puan Sri Diah, seorang novelis Selamat Malam Tan Sri dan juga Kuala Lumpur, Di Mana Suamiku. 



Orang nampak bahagianya ada buku sendiri.
Tercetak nama di kulit paling depan sekali.

Yang jarang dikongsikan, keperitan mengolah kisah benar yang berlaku tanpa mengguris mata-mana hati. Walau pada hakikatnya, hati penulis sendiri bagai direntap sampai separuh mati ketika menulis buku ini. Setelah siap, penulis berharap dirinya mampu berlari meninggalkan semua bebanan emosi tadi.

Aku juga mahu hidup tanpa sesuatu yang membelenggu hati.






Comments