Seminar Musa dari Perspektif Kekeluargaan.
Surah Al Qasas ( Ayat 1 hingga ayat 27)
Bintang bercahaya.
1. Tidak semua bintang boleh dilihat.
Sebenarnya masih ada banyak bintang yang cahayanya belum sampai cahayanya
kepada kita.
2. Langit yang kita lihat sekarang, adalah
langit yang sama dilihat oleh Rasulullah dan para sahabat.
3. Kajian menyatakan bintang yang paling
jauh dari bumi jaraknya adalah 9 billion tahun cahaya.
4. Sekarang, ada kajian mengatakan mereka
dah jumpa bintang baru. Sebenarnya bintang tu dah ada, Cuma cahayanya sahaja
yang baru sahaja tiba ke mata kita.
5. Lihatlah Allah bersumpah dengan bintang
– bintang. Surah Al Waqiah ayat 75-77
"Maka Aku bersumpah: Demi
tempat-tempat dan masa-masa turunnya bahagian-bahagian Al-Quran."
"Dan sebenarnya sumpah itu adalah
sumpah yang besar, kalaulah kamu mengetahuinya,"
"Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan
kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan
pimpinan)"
6. Apa kaitan dengan Al Quran dengan cahaya
bintang? Al Quran itulah cahaya.
7. Jangan putus asa baca dan lihat Quran.
8. Kerana masih banyak cahaya yang belum
sampai pada kita.
9. Berbahagialah mereka yang sedang
menikmati cahaya itu.
Lihat sahaja Surah Al Kahfi yang kita baca
setiap jumaat, Ustaz sarankan, amalkan surah itu bukan sekadar untuk hari
jumaat dan bukan sekadar 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir. Hayatilah.
1. Pemuda Al Kahfi itu bangun dalam keadaan
gua yang gelap da nada sedikit sahaja cahaya. Mereka bersembang tentang berapa
lama mereka tertidur.
2. Mereka memerhati tubuh mereka tiada
perubahan yang menunjukkan mereka telah tidur begitu lama.
3. Akhirnya mereka ambil keputusan untuk
keluar dari gua (untuk nampak cahaya).
4. Mereka jumpa anjing mereka telah mati.
“Kalau anjing kita mati tinggal tulang
begini, maksudnya kita bukan tidur sekejap,”
5. Lalu mereka serahkan saja kepada Allah,
tak perlu bincang lah berapa lama pun mereka tidur, kerana tiada apa-apa
manfaat pun. Yang penting mereka lapar. Mereka perlu cari makanan.
6. “Nah, ambil duit ini, dan pergilah ke
Bandar, beli makanan,” salah seorang mereka ke kota untuk membeli makanan.
7. Allah bangunkan mereka sebagai bukti
kepada manusia yang hidup ketika itu bahawa Allah menyelamatkan mereka yang
berusaha menjaga akidah mereka.
Bagaimana kisah Musa membantu dalam
kehidupan?
1. Tiada seorang rasul yang diutuskan
kepada satu-satu umat dan kaum melainkan DIA adalah THE BEST HUMAN BEING.
2. Kita perlu lihat bagaimana kehidupan
RASUL/NABI itu sebelum menjadi RASUL.
3. Kerana Allah sangat teliti dalam
pembinaan peribadi mereka sebelum mereka menjadi Rasul.
Surah Al Qasas dan Kisah Musa.
1. Surah Al Qasas ini diturunkan pada
ketika Rasulullah berhadapan dengan kaum Quraisy melakukan pembantaian fizikal
kepada para sahabat.
2. Sumayyah , suaminya dan Ammar telah
diseksa teruk sehingga Sumayyah syahid akhirnya.
3. Allah menceritakan dalam Surah Al Qasas
ini tentang bayi lelaki bani Israel yang dibunuh dengan kejam oleh Firaun dan
tenteranya.
Apa yang Allah cuba sampaikan kepada
Rasulullah dan para sahabat ketika itu melalui Surah Al Qasas ini?
a) Allah nak kata yang sehebat mana pun
Firaun, dia takkan mampu lari dari azab Allah.
b) Allah nak beri semangat kepada
Rasulullah dan para sahabat agar terus menjaga akidah dan iman walaupun diseksa
oleh kaum Quraisy.
1. Taa, Siin, Miim.
Ia bermakna Keagungan Allah. Hanya Allah
yang tahu .
Ada 29 Surah yang cerita tentang keagungan
Quran.
2. Terjemahan ayat kedua - Inilah ayat-ayat
Kitab - Al-Quran - yang memberi penjelasan.
Al-Mubin itu membawa maksud penjelasan.
Penjelasan apa yang Allah nak beri kepada kita?
Allah nak jelaskan bahawa ada akibat kepada
orang-orang yang sombong dan kufur. Allah juga nak jelaskan ada akibat untuk
orang-orang yang sabar dan beriman. Allah nak bagitahu bahawa kesabaran mereka
itu tidak sia-sia.
3. Terjemahan ayat ketiga - Kami bacakan
kepadamu (wahai Muhammad) sebahagian dari kisah Nabi Musa dan Firaun dengan
keterangan yang benar bagi orang-orang yang beriman..
Inilah kisah yang Allah beri iaitu Kisah
Musa dan Firaun.
4. Terjemahan ayat keempat - Sesungguhnya
Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia
menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan
membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan
mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.
a) Metod pemerintahan Firaun ketika ini
ialah dengan memecah belahkan Bani Israel ketika itu menjadi puak-puak kecil
untuk elakkan mereka dari bersatu. Pada fikiran Firaun, jika mereka bersatu
mereka akan jatuhkan pemerintahan Firaun. Firaun dan tenteranya membuat kerosakan
kepada Bani Israel.
b) Mereka menyembelih bayi-bayi lelaki agar
bayi-bayi itu tak mampu membesar dan menjatuhkan kerajaannya.
c) Firaun juga mengaku sebagai Tuhan dan
memaksa Bani Israel itu menyembahnya. Tapi Bani Israel tetap dengan pendirian .
Mereka diseksa.
d) Sebelum Nabi Yusuf wafat, dia pernah
berwasiat kepada orang-orang yang masih ada ketika itu bahawa akan datang satu
keadaan di mana Bani Israel tidak lagi berkuasa. Pada ketika itu, percayalah
kepada Taqwa dan akan datanglah Rasul.
e) Jadi wasiat Nabi Yusuf itu menguatkan
keyakinan mereka, bahawa akan datang Rasul yang akan bantu mereka. Masa tu
mereka tak tahu siapa. Mereka hanya yakin sahaja.
“Kita kena sabar. Tunggulah Rasul tu bantu
kita, kita hadap saja penyeksaan ini,” Bani Israel saling memotivasikan sesama
mereka agar terus bertahan.
f) Lalu, tentera-tentera Firaun ini
terdengar perbualan mereka dan memberi laporan kepada Firaun.
“Wahai Firaun, aku dengar mereka kata akan
datang Rasul untuk bantu mereka,”
g) Firaun takut dengan pemberontakan
dalaman dari rakyat ini lalu membuatkan Firaun membuat satu peraturan iaitu
membunuh semua bayi lelaki.
h) Firaun juga menetapkan ada beberapa
tahun yang peraturan itu dihentikan seketika. Jadi bayi lelaki akan selamat
pada tahun yang telah ditetapkan itu. Untuk apa? Untuk kekalkan ada lelaki yang
perlu jadi pekerja Firaun. Kalau tak siapa yang nak buat pyramid-piramid tu
semua.
Di mana kita pada bahagian ini?
Firaun sudah mati, tetapi keFiraunannya
belum berakhir. Firaun itu hanya gelaran sahaja. Sesiapa sahaja boleh mempunyai
sifat seperti Firaun ketika itu.
Pada saat ini, fikir semula asas utama
mendidik diri dan anak untuk apa?
Untuk memusnahkan ciri-ciri Firaun yang ada
pada diri kita sendiri.
5. Terjemahan ayat kelima - Dan Kami hendak
berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri
itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan
mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya).
Allah dah kata bantuan akan datang untuk
mereka.
6. Terjemahan ayat keenam - Dan Kami hendak
memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan
kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan
dari golongan yang bertindas itu.
Kenapa ada Haman di dalam ayat ini? Bukan
Firaun sahaja kah yang jahat?
Allah ada menyebutkan tentang Haman di
dalam Surah Ghafir.
Haman ini berperanan sebagai pelaksana
perintah Firaun.
Allah murka kepada Firaun sebab dia mengaku
dirinya Tuhan.
Haman pula Allah murka sebab dia bersetuju
dengan tindakan Firaun.
Maka, dalam ayat ini Allah nak tunjuk
bahawa setiap seorang yang bersetuju kepada perbuatan jahat, kezaliman dan
kerosakan juga akan dihukum oleh Allah.
Di mana kita pada ayat ini?
Jika kita ada kuasa pada satu-satu
organisasi, bila ada keputusan yang zalim dan tidak adil kepada pekerja-pekerja
tetapi kita tidak bersuara apa-apa, maka kita sama seperti pembuat peraturan
tadi.
Tugas kita, buka mulut. Beritahu mereka apa
yang betulnya. Sekurangnya kita dah jalankan kerja kita. Bersuaralah menentang
kezaliman. Kerana Allah tak tanya hasilnya, Allah tanya apa yang kita dah
lakukan.
7. Terjemahan ayat ke tujuh. - Dan Kami
ilhamkan kepada ibu Musa:" Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau
takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah
dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa
bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya
kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul
Kami.
Ada dua pendapat para ulama tentang
bagaimana Yukabid mendapat ilham. Pertama melalui kedatangan Jibril. Kedua
melalui mimpi. Apa perkhabaran yang Yukabid terima?
a) Susukanlah Musa.
b) Tenang.
c) Jika rasa sangat takut, carilah kotak
dan lepaskan di Nil.
d) Jangan risau benda yang dah berlaku dan
akan berlaku.
e) Buat sahaja perintah Allah.
Perkataan “Inna” dalam ayat ini membawa
maksud Allah membawa khabar gembira buat Yukabid. Apa khabarnya?
a) Allah akan kembalikan Musa ke tangannya.
b) Allah akan jadikan Musa seorang Rasul.
Maka Yukabid pun menyusukan Musa dengan
tenang sehinggalah dia rasa takut bila ada tentera-tentera mula masuk ke
kawasan rumahnya. Kenapa kena susukan dulu? Kenapa kena tenang?
Yukabid kena susukan dulu Musa supaya Musa
dapat kenal pasti susu ibunya nanti. Yukabid kena tenang supaya emosi Musa juga
tenang. Yukabid reda dengan perancangan Allah. Dia ikut sahaja apa yang Allah
suruh.
Dalam hatinya, hanya Allah saja yang tahu betapa
dia risaukan Musa.
Yukabid menyediakan kotak , lalu dimasukkan
Musa ke dalamnya dan dilepaskan ke Sungai Nil.
Debaran Yukabid melepaskan Musa ke dalam
sungai tidak pernah berakhir.
8. Terjemahan ayat kelapan : Setelah itu
dia dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh dan
menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta
orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.
Saat Musa dilepaskan ke sungai Nil itulah
telah bermula rencana Allah untuk memusnahkan kerajaan Firaun.
Saat Musa diterima masuk ke Istana Firaun
itulah, Firaun tidak pernah menyangka bahawa Allah telah merencanakan untuk
Penasihat Kanan Firaun masuk Islam, Asiah masuk Islam dan 70 Ahli Sihir Firaun
masuk Islam.
9. Terjemahan ayat kesembilan - Dan (ketika
melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: "(Semoga ia menjadi)
cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia
berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak". Padahal mereka tidak
menyedari (kesudahannya).
Rasa simpati yang Allah izinkan masuk ke
dalam jiwa Asiah itulah yang membawa masuk Musa ke dalam keluarga Firaun dan
menjadi anak kesayangan.
Dan atas rasa simpati itulah Firaun tanpa
sedar ianya yang akan membawa kepada kehancuran Firaun sendiri.
Dan dengan bermula dari simpati itulah
Asiah akhirnya berjuang demi akidah dan imannya.
Di mana kita pada Kisah Asiah ini?
( Ini dari hasil refleksi sendiri, ustaz
tak ada cakap macam ni, tapi masa ustaz cerita, ini yang berlegar dalam kepala)
- Adakah mampu kita menyayangi anak seperti
mana Asiah menyayangi Musa.
- Adakah mampu kita jadi seyakin Asiah
mempertahankan akidah dan iman kita sedangkan suaminya adalah Firaun.
- Seorang isteri tidak perlu mematuhi suami
yang derhaka kepada Allah. Jagalah iman dan akidah kita, perjuangkan syurga
kita seperti mana Asiah perjuangkan syurganya.
- Tanya pada diri, di manakah kita?
- Bersyukurlah bila ada suami yang menegur tentang aurat kita, tentang
solat kita, tentang puasa kita, tentang ibadah kita, tentang duit bulanan rumah,
tentang anak-anak. Bersyukurlah.
- Bila ada kekhilafan suami sikit-sikit
tentang cara picit ubat gigi ke, baju tak bersidai ke, tuala bergumpal ke, tak
pandai kemas ke, bersyukurlah kerana dia tidak berperangai seperti Firaun.
- Bersyukurlah kalau masih ada suami yang
cakna tentang masa depan akhirat kita.
10. Terjemahan ayat kesepuluh - Dan
(sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya ia
nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika
tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram),
supaya tetaplah ia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah).
a) Yukabid juga manusia biasa seperti kita.
Ibu ini dah tak kuat menahan rindu dan risaunya. Ada waktu imannya naik, ada
waktu imannya turun. Dalam hatinya tiada perkara lain selain Musa. Hampir
sahaja dia meluahkan perasaan risaunya kepada orang lain, tetapi Allah kuatkan
iman dan hatinya untuk terus berdiam diri.
b) Bila iman kita kuat, datanglah sekuat
mana stress dan ujian kepada kita itu, kita akan terus meluah kepada Allah.
c) Ada perbezaan antara meluah untuk
dapatkan bantuan dan meluah untuk sekadar meluahkan perasaan.
d) Yukabid juga meluah untuk mendapatkan
bantuan. Kepada siapa dia dapatkan bantuan? Kepada anak sulongnya iaitu Maryam.
Dimana kita pada babak ini?
Renungi diri kita. Apa yang kita lakukan
kalau kita ada masalah. Meluah kepada Allah atau meluah kepada manusia.
Bila mana kita meluah kepada manusia dahulu
berbanding Allah, semak semula iman kita.
Bila mana kita lebih rela meluah di media
social, untuk sekadar meluah perasaan, semak semula kebergantungan kita kepada
Allah.
Ada perbezaan besar antara meluah untuk
mencari penyelesaian dan meluah untuk sekadar luahan perasaan. Fikirkan. Di
mana kita?
11. Terjemahan ayat kesebelas - Dan
berkatalah ia kepada kakak Musa: "Pergilah cari khabar beritanya".
(Maka pergilah ia) lalu dilihatnya dari jauh sedang orang ramai tidak
menyedarinya.
a) Perkahwinan Yukabid dan Imran , mereka
dapat tiga orang anak iaitu, Maryam, Harun dan Musa.
Jangan keliru dengan Maryam Ibu Isa ya.
Lain. Kisah ini kisah Nabi Musa.
b) Jadi, Yukabid minta bantuan dari Maryam
untuk cari perkhabaran tentang adiknya Musa.
c) Ada tiga ciri Maryam yang perlu anak
perempuan kita ada. Apa dia? Ada 3K.
K – Ketaatan. – Maryam taat , tanpa banyak
soal dia terus pergi mencari khabar tentang Musa.
K- Keberanian – Maryam berani untuk
menghendap perjalanan kotak Musa yang masuk ke perkarangan istana Firaun.
K- Kebijaksanaan – Maryam yang bijaksana
ini mengikut perjalanan kotak Musa ke
Istana Firaun sambil berpura-pura mengutip sampah di jalanan agar
perjalanannya itu tidak dapat di kesan oleh tentera-tentera Firaun.
Dimana kita pada babak ini?
Adakah kita telah menjadi anak setaat
Maryam kepada ibunya.
Adakah anak perempuan kita telah dididik
setaat Maryam kepada ibunya.
Adakah anak perempuan kita boleh faham
arahan ibunya dan buat lebih dari arahan ibunya seperti Maryam.
Adakah kita ada ciri-ciri Yukabid dalam
mendidik anak-anaknya? Renungkan.
12. Terjemahan ayat kedua belas - Dan Kami
jadikan dia dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak
menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata: "Mahukah, aku
tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu,
serta mereka tulus ikhlas kepadanya?"
a) Di istana Firaun itu, Musa mula menangis
kelaparan. Asiah dan Firaun bergegas mencari ibu susuan untuk Musa.
b) Lalu dibuat pengumuman. “Sesiapa yang
boleh menyusukan bayi, silalah beratur di Istana Firaun,”
c) Maka, berduyun-duyunlah wanita yang
pergi beratur untuk menyusukan anak kesayangan Firaun dan Asiah ini. Tetapi
semua tidak diterima oleh Musa.
d) Maryam juga turut sama beratur
sehinggalah tiba kepada gilirannya.
e) Kata Maryam kepada mereka "Mahukah
kalian, aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat
memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?"
f) Asiah dan Firaun pun tanpa banyak tanya,
bersetuju sahaja asalkan Musa tidak kelaparan lagi.
13. Terjemahan ayat ketiga belas - Maka
(dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram
hatinya dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya); dan supaya ia
mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan
tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (yang demikian itu).
a) Maka, Musa dikembalikan semula kepada
Yukabid untuk disusukan. Dah nampak kenapa Allah minta Yukabid susukan Musa
dahulu? Supaya Musa dapat kenal bau dan susu ibunya sendiri.
b) Betapa Maryam sangat faham jiwa ibunya,
dengan bijaksana dia berjaya membawa
pulang adiknya itu kepada ibunya semula tanpa disyak oleh Firaun dan tenteranya
bahawa mereka sebenarnya adalah satu keluarga. Walaupun ibunya hanya suruh cari
khabar sahaja. Bukan suruh bawa balik Musa ke tangannya. Nampak tak
kebijaksanaan kakak Musa ini. Masya Allah.
14. Terjemahan ayat keempat belas - Dan
ketika Musa sampai ke peringkat umurnya yang cukup kekuatannya dan sempurna,
Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikian Kami
membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
Kehidupan 30 tahun Musa di Istana Firaun,
Allah telah melengkapkan diri Musa dengan pelbagai ilmu pengetahuan seperti
menguasai Bahasa Mesir, ilmu pembinaan bangunan, ilmu astronomi dan ilmu politik
Mesir dan Negara sekitarnya ketika itu. Musa juga mempunyai kekuatan fizikal
yang bukan calang-calang. Dia mempunyai tubuh badan yang tegap dan tumbukan
buku lima yang padu.
Di mana kita pada babak ini?
a) Ilmu dunia dan ilmu agama tidak dapat
dipisahkan.
b) Allah telah mempersiapkan Musa dengan
ilmu pengetahuan sebelum dia bersedia sepenuhnya menjadi Rasul agar dia boleh
berdiri di hadapan FIraun dan konco-konconya tanpa dipertikaikan oleh mereka
sekalipun.
15. Terjemahan ayat ke lima belas - Dan masuklah
ia ke bandar (Mesir) dalam masa penduduknya tidak menyedarinya, lalu
didapatinya di situ dua orang lelaki sedang berkelahi, - seorang dari
golongannya sendiri dan yang seorang lagi dari pihak musuhnya. Maka orang yang
dari golongannya meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari pihak
musuhnya; Musa pun menumbuknya lalu menyebabkan orang itu mati. (pada saat itu)
Musa berkata: "Ini adalah dari kerja Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu
musuh yang menyesatkan, yang nyata (angkaranya) ".
Ketika ini Musa tertumbuk pegawai Polis
Firaun untuk meleraikan pergaduhan antara seorang Bani Israel dan polis
tersebut. Hanya dengan sekali tumbukan sahaja, polis tersebut telah mati. Nabi
Musa jadi takut.
16. Terjemahan ayat ke enam belas - Ia
merayu (dengan sesalnya): "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah
menganiaya diri sendiri; oleh itu ampunkanlah - apalah jua kiranya - akan
dosaku". (Maka Allah Taala menerima taubatnya) lalu mengampunkan dosanya;
sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Musa terus berdoa memohon keampunan kepada
Allah. Dia tak kembali ke istana Firaun. Musa rasa bersalah dan dia tahu dia
takkan mampu sembunyikan kesilapan dirinya.
17. Terjemahan ayat ke tujuh belas - Ia
merayu lagi: "Wahai Tuhanku, demi nikmat-nikmat yang Engkau kurniakan
kepadaku, (peliharalah daku) supaya aku tidak akan menjadi penyokong kepada
golongan yang bersalah"
Musa berterusan memohon bantuan dari Allah.
Dia berdoa agar dilindungi dari menjadi penyokong orang yang salah.
18. Terjemahan ayat ke lapan belas -
Semenjak itu, tinggalah ia di bandar (Mesir) dalam keadaan cemas sambil
memerhatikan (berita mengenai dirinya), maka tiba-tiba orang yang meminta
pertolongan kepadanya semalam, memanggil meminta pertolongannya lagi. Musa berkata
kepadanya: "Sesungguhnya engkau ini orang yang nyata sesatnya!"
Musa bersembunyi di sekitar Mesir. Dia
takut tentera Firaun akan terjumpa dia. Sedang dia menyelinap di jalan-jalan
Mesir itu, berlaku lagi satu pergaduhan antara seorang Bani Israel dan anggota
polis lain.
Rupanya lelaki Israel yang bergaduh itu
adalah lelaki yang sama bergaduh dengan polis semalam. Musa cuba untuk tidak
terlibat lagi dalam meleraikan pergaduhan tersebut.
Tiba-tiba lelaki itu menjerit, “Musa!!
Tolong aku!”
Suasana mula menjadi kecoh. Polis-polis
Firaun mula terpinga-pinga kenapa Musa, anak Firaun dan Asiah ini membantu Bani
Israel.
Musa berkata kepada lelaki Bani Israel itu,
“Engkau ni, kenapa provoke Polis Firaun, engkau yang cari pasal,”
Kesilapan Musa pada kejadian pergaduhan
pertama ialah Musa terlalu awal membuat kesimpulan dan terus terjebak dengan
pergaduhan tersebut tanpa mengetahui hujung pangkalnya.
Di mana kita pada babak ini?
Kalau kita dah tahu orang itu memang zalim,
tak perlu provoke dengan kenyataan yang membuka ruang pergaduhan.
19. Terjemahan ayat ke Sembilan belas -
Maka ketika ia bersedia hendak menumbuk orang yang menjadi musuh bagi mereka
berdua berkatalah orang itu: "Wahai Musa, adakah engkau hendak membunuhku
sebagaimana engkau membunuh satu jiwa semalam? Sebenarnya engkau hanyalah
hendak menjadi seorang yang kejam di bumi, dan tidaklah engkau hendak menjadi
seorang pendamai".
TIba-tiba ada salah seorang polis Firaun
bersuara, “Hei Musa, kau nak bunuh aku macam kau bunuh orang semalam ke?”
Motivasi apa Allah nak beri kepada
Rasulullah melalui babak ini?
Allah nak beritahu kepada Rasulullah bahawa
Musa perlu berhadapan dengan kes pembunuhan tak sengaja yang dia lakukan
sebelum dia boleh ajak Firaun dan umatnya menyembah Allah. Sedangkan Rasulullah
tak ada buat kes dengan Kaum Quraisy pun.
Nabi Musa boleh memilih untuk putus asa
berdakwah kerana dia ada kes bunuh tanpa sengaja ini. Tapi Allah tetap memilih
Musa.
Musa juga perlu mengajak Firaun yang juga
bapa angkatnya, orang yang telah membesarkan dia selama 30-40 tahun itu.
Situasi Musa yang Allah ceritakan kepada Rasulullah ini, memberi motivasi
kepada Rasullullah dan para sahabat.
20. Terjemahan ayat ke dua puluh - Dan
datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, (lalu menyampaikan
berita) dengan berkata: "Wahai Musa, sesungguhnya pegawai-pegawai Firaun
sedang mengadakan pakatan terhadapmu, mereka hendak membunuhmu; oleh itu
pergilah dari sini, sesungguhnya aku adalah pemberi nasihat secara ikhlas
kepadamu".
Tiba-tiba datang seorang lelaki dari hujung
kota (babak ini memang menunjukkan Istana Firaun itu bukan dalam Bandar, ianya
di hujung, sebab Firaun sangat takut dengan pemberontakan rakyat yang tak suka
kezaliman dia).
Lelaki itu berjumpa dengan Musa di satu
tempat yang hanya Musa dan dia sahaja yang tahu. Inilah BFF Musa di dalam
Istana Firaun.
Kenapa dia nak jumpa? Dia nak beritahu Musa
yang Firaun dan konconya dah bersepakat hendak bunuh Musa.
"Jadi, keluarlah sekarang dari Mesir.
Ini nasihat aku sebagai kawan." kata kawannya itu.
Nampak tak usaha kawan Musa ini keluar dari
istana segera selepas dapat tahu kata putus dari Firaun nak bunuh Musa. Dia
perlu segera beritahu Musa sebelum tentera Firaun yang lain jumpa Musa dulu.
Inilah sebab Allah takdirkan Musa perlu ada
kawan dalam Politik dan Kerajaan Mesir, supaya kawan baiknya ini boleh beritahu
apa perkembangan yang berlaku dalam istana sepanjang Musa jadi pelarian di
Mesir.
21. Terjemahan ayat ke dua puluh satu -
Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas sambil memerhatikan
(berita mengenai dirinya) serta berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku,
selamatkanlah daku dari kaum yang zalim "
Maka Musa dengan sehelai sepinggang tanpa
kuda dan apa-apa berlari keluar dari Mesir di padang pasir sendirian. Dia terus
berdoa kepada Allah tanpa putus. Inilah salah satu tanda Allah dah ampunkan
dosa Musa.
Dia sendirian di padang pasir. Dia tak tahu
nak menuju ke mana.
22. Terjemahan ayat ke dua puluh dua - Dan
setelah ia (meninggalkan Mesir dalam perjalanan) menuju ke negeri Madyan,
berdoalah ia dengan berkata: "Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan jalan yang
benar kepadaku,".
“Ya Allah, tunjukkan aku jalan, aku tak
tahu ke mana,” kata Musa.
Motivasi apa yang Allah nak beri kepada
Rasulullah s.a.w melalui kisah Musa ini?
Allah nak beritahu kepada Nabi Muhammad
bahawa ketika Musa keluar dari Mesir, dia berseorangan tanpa sesiapa. Sedangkan
Rasulullah ditemani oleh Abu Bakar ketika mereka berhijrah ke Madinah.
Dalam perjalanan itu Musa sampai ke Madyan.
Kenapa Allah letakkan Madyan dalam ayat
ini?
Sebab Allah tahu Musa tahu tentang Madyan
sebab Musa sangat arif tentang ilmu geografi, astronomi dan politik Madyan.
Madyan adalah sebuah negeri yang penduduknya adalah Muslim ketika itu. Jauhnya
Madyan ini dari Mesir ketika itu ialah sejauh 300-400 km.
Bayangkan Musa berjalan kaki sambil berlari
di padang pasir takut dikejar tentera Firaun menuju ke Madyan.
Madyan ini adalah Madyan ke dua berada di
Utara Arab Saudi. Madyan yang pertama telah dimusnahkan iaitu ketika zaman Nabi
Syuaib.
23. Terjemahan ayat ke dua puluh tiga - Dan
ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan
orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan ia
juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan
kambing-kambingnya. dia bertanya: "Apa hal kamu berdua?" Mereka
menjawab: "Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga
pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa
kami seorang yang terlalu tua umurnya ".
Setibanya Musa di sebuah tempat sumber air
besar di Madyan, dia duduk berteduh dan rehat di bawah sepohon pokok. Ketika
ini dia melihat dua situasi di situ.
a) Ada ramai lelaki yang sibuk memberi
kambing mereka air minuman di situ tanpa menghiraukan orang lain.
b) Ada dua perempuan yang sedang menghalang
kambing mereka dari pergi minum di sumber air itu.
Musa tak boleh lihat 2 wanita ini
diperlakukan begini oleh lelaki-lelaki tersebut. Tak ada seorang lelaki pun
membantu dua wanita ini. Musa yang masih letih dan penat berjalan sejauh
300-400km dari Mesir tadi ini bangun lalu menuju ke arah 2 wanita tadi berdiri.
Musa ini bersifat kemanusiaan lebih dari
diri dia sendiri.
“Apa yang tak kena?” Musa terus bertanyakan
masalah mereka. Tanpa ada perbualan biasa-biasa.
2 wanita ini pula bukan wanita sembarangan.
Mereka tahu batas pergaulan dan menjaga ikhtilat mereka dengan lelaki.
“Kami tidak akan ambil air selagi mereka
tak selesai,” balasnya ringkas.
Dimana kita pada babak ini?
Sudah kah kita menjaga ikhtilat kita dengan
lelaki ajnabi?
Adakah anak gadis kita terdidik dengan
menjaga ikhtilat mereka?
24. Terjemahan ayat ke dua puluh empat -
Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia
pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku,
sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau
berikan".
Musa terus mengambil tali kambing dan beri
kambing mereka minum dan bawa semula kambing kepada 2 wanita itu setelah
selesai.
Lalu berdoa kepada Allah, “Wahai Allah, aku
sangat berhajat kepada sebarang rezeki yang engkau berikan,”
Ustaz ada pesan, setiap doa dalam Quran
ini, Allah dah pernah makbulkan. Ambillah doa orang yang Allah dah declare doa
mereka ini mustajab.
Kita semua pernah berada dalam situasi
Musa.
Musa yang kehilangan segalanya, berjauhan
dari ibu dan keluarganya, jauh dari kawan-kawannya, hilang kerjanya, hilang
tempat tinggalnya.
Di mana kita dalam babak Musa kehilangan
segalanya ini?
Di mana kebergantungan kita kepada Allah
pada saat kehilangan itu?
Masya Allah.
25. Terjemahan ayat ke dua puluh lima -
Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya
dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata:" Sebenarnya
bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak
kami". Maka ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya
kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu
kepadanya: "Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang
zalim itu ".
Musa mendapat jemputan dari ayah 2 wanita
tadi. Allah telah menetapkan Musa menerima jemputan ayah kepada wanita tadi
lalu Musa telah mendapat ganti kepada kehilangannya.
Musa mendapat :
a) Kediaman.
b) Kerjaya.
c) Keluarga.
Musa juga bercerita kepada ayah wanita tadi
yang juga Sheikh besar di Madyan ketika itu tentang kisah-kisah dirinya yang
berlaku di Mesir. Ini lah sebab utama nama Surah ini diberi nama Al Qasas iaitu
Kisah-Kisah.
Sheikh memberi jaminan akan keselamatan Musa
di situ.
26. Terjemahan ayat ke dua puluh enam -
Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah,
ambilah dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya
sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi
amanah".
Ketika Sheikh dan Musa berbual, anak
perempuan ini dengar. Lalu ketika ayahnya bersendirian tanpa Musa, anaknya
mencadangkan agar ambil Musa sebagai pekerja. Sebab Musa ada dua kualiti yang
diperlukan sebagai pekerja.
Inilah kualiti yang perlu ada pada
pekerja-pekerja. Apa dia?
a) Kuat.
b) Amanah.
27. Terjemahan ayat ke dua puluh tujuh -
Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): "Aku hendak mengahwinkanmu
dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau
bekerja denganku selama delapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan
menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri.
Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku
Insya Allah, dari orang-orang yang baik layanannya".
Ketika menimbangkan cadangan anak
perempuannya itu, Sheikh itu memutuskan untuk mengahwinkan mereka.
Watak seorang ayah ini sangat memahami niat
anak perempuannya. Mana dia boleh mengambil Musa berkerja tanpa menyediakan tempat
tinggal.
Takkan Musa mahu duduk di rumah mereka
bersama dua anak gadis itu.
Jadi, Sheikh mengahwinkan mereka dengan
syarat Musa berkerja sebagai penggembala kambing selama 8 hingga 10 tahun
bergantung pada kerelaan Musa.
Dalam ayat ini juga menjadi satu bukti
bahawa penduduk Madyan adalah Muslim.
Perhatikan perkataan حِجَجٍ. Ia
bermaksud tahun. Perkataan asalnya ialah Haj. Ianya menunjukkan kontrak Sheikh
dan Musa 8-10 tahun itu dikira mengikut 8-10 kali musim Haji. Ini menunjukkan
penduduk Madyan menunaikan musim haji.
Dan inilah rencana Allah untuk Musa
sebenarnya agar dia menjalani pendidikan Emotional dan Spiritual di Madyan
setelah dia berjaya mendapat pendidikan
physical dan kebijaksanaan di dalam Istana Firaun.
Kenapa perlunya Musa menjadi penggembala
kambing selama 10 tahun?
1. Perjuangan Musa tak berakhir dengan kematian
Firaun. Masih ada perjuangan yang lebih besar dari Firaun.
2. Bani Israel adalah kaum yang sangat
degil dan tak mahu dengar cakap Musa.
Sebab itu Musa perlukan proses belajar
untuk membimbing Bani Israel.
10 tahun Musa ditugaskan untuk jadi penggembala
kambing, apa yang dia belajar?
1. Path Finding. Penggembala kambing perlu
tahu bawa kambing ke arah padang rumput yang tidak bertuan atau padang rumput
kita sendiri. Sama seperti para Rasul akan menentukan dan menunjuk jalan
destinasi akhir kaumnya ialah Akhirat.
2. Directing. Penggembala kambing perlu
tahu beri arahan kepada kambing. Rasul juga perlu beri arahan kepada kaumnya
untuk ikut apa yang Allah suruh.
3. Controlling. Penggembala kambing perlu
tahu mengawal pergerakan kambing. Rasul juga perlu belajar mengawal kaum dan
umatnya agar tidak tersasar dari jalan Allah.
4. Protecting. Penggembala kambing juga
perlu melindungi kambing dari musuhnya iaitu serigala. Rasul juga perlu
melindungi umatnya dari musuh iaitu Syaitan. Musuh nyata kita.
5. Reflecting. Penggembala kambing perlu
meneliti dan memerhati setiap perjalanan mereka pada hari itu sebagai panduan
hari-hari berikutnya. Rasul juga perlu meneliti dan memerhati setiap perkara
yang berlaku kepada umat dan kaumnya sebagai panduan untuknya memandu mereka
menuju destinasi akhir iaitu akhirat.
Kisah Musa dan Khidir sewaktu perjalanan
mereka, yang seakan ianya adalah kehidupan Musa dari kecil hingga ke Madyan.
1. Kisah Perahu yang Khidir pecahkan sebab
ada raja zalim di hujung sana mahu merampas perahu yang masih elok dan cantik.
Khidir tidak pecahkan sampai tenggelam. Khidir hanya mencacatkannya sahaja.
Kerana Khidir tahu pemilik perahu itu sangat miskin, jika perahu itu dirampas,
maka hilanglah punca rezekinya.
a) Musa diletakkan di dalam kotak kayu dan
dihanyutkan ke Sungai Nil kemudian masuk kedalam keluarga Firaun yang zalim. Di
mana logiknya seorang ibu tegar menghanyutkan anaknya ke dalam sungai tanpa tahu
ke mana perginya arus itu? Itulah rencana Allah. Allah hanya minta Yukabid
yakin sahaja kepada perintah Allah.
2. Kisah Khidir membunuh anak kecil asbab
Khidir tahu pada masa akan datang anak itu akan menjadi seorang yang sangat
zalim dan menyeksa kedua ibu bapanya.
a) Musa terbunuh seorang polis Firaun yang
zalim sehingga memaksa Musa lari ke Madyan.
3. Kisah Khidir bantu membetulkan rumah
yang hampir roboh yang rumah itu rupanya milik seorang yang soleh dan memiliki
2 anak yatim. Di rumah itu ada harta untuk mereka warisi. Kalau tidak ditutup,
jiran-jiran mereka akan ambil.
a) Di Madyan, Allah temukan Musa dengan
seorang Sheikh yang memiliki 2 orang puteri. 10 tahun di Madyan dan dia
berkeluarga di sana.
Ada persamaan menarik mengenai kisah Nabi
Yusuf dan Nabi Musa.
Nabi Yusuf .
a) Bermula dengan babak di dalam telaga
buta yang ada air.
b) Ayahnya minta dia agar jangan ceritakan
mimpi nya kepada adik beradik nya.
c) Ayahnya kata, janganlah ikut adik
beradik kamu masuk hutan, ayah risaukan ada serigala.
Ada kemungkinan Nabi Yaakub tahu pasti ada
serigala di kalangan anak-anaknya itu, selain dari serigala yang betul di hutan
itu.
d) Dia di humban ke dalam perigi dan
diambil oleh menteri Kewangan Mesir.
e) Akhirnya Yusuf jadi pemangku Raja Mesir
ketika itu.
Kisah Yusuf ini, ustaz akan kupas pada
Seminar Kisah Yusuf pada masa akan datang.
Nabi Musa.
a) Bermula dengan babak di hanyut di Sungai
Nil.
b) Ibu lakukan perintah Allah untuk
hanyutkan Musa.
c) Bermula detik Musa dihanyutkan itulah
bermulalah perjalanan kehancuran kerajaan Firaun.
d) Penasihat kanan Firaun masuk Islam.
e) Asiah masuk Islam.
f) 70 orang Ahli Sihir Firaun masuk Islam.
g) Nabi Musa hidupnya penuh sebagai Murabbi
kepada Bani Israel ketika itu.
Mudahan kalian dapatlah sedikit manfaat
dari perkongsian nota Seminar Kisah Musa ini. Dengarkan versi Audio Ustaz
Shaari di Facebook Rumah Ngaji Johor.
Doa di bawah adalah doa Musa ketika baru
sampai di Madyan setelah berlari 300-400km dari Mesir. Dia sangat mengharapkan
bantuan Allah ketika itu.
Amalkanlah kerana kita juga sentiasa
mengharapkan bantuan dan rahmatAllah.
#RumahNgajiJohor
#UstazShaari
#KisahMusa
Comments
Post a Comment