Petang.

 

Petang.

Kaulihat jam sudah pukul 12 tengah hari. Kereta dan manusia bertali arus di jalan raya di hadapankau. Lampu isyarat masih tidak menyebelahi pejalan kaki yang sudah memenuhi pinggir jalan. Beberapa kali butang di tiang lampu itu ditekan. Tiada tanda lampu isyarat pejalan kaki itu bertukar hijau.

            “Bodohlah lampu ni. Berapa lama lagi nak tunggu ni? Aku dahlah nak jumpa klient.” Rungut orang sebelahkau. Peluh bercucuran di tepi pipinya, jelas di matakau. Kasihan. Begitulah hidup di kota raya besar. Semuanya berpusu-pusu mahu selesaikan tanggungjawab selagi matahari belum terbenam.

            Kau pula tidak seperti mereka. Kau hanya berdiri di situ. Kau pun tidak tahu kenapa. Tepat jam 12 tengah hari kau akan berada di situ seakan menunggu sesuatu. Mata cekung kau kosong melepas pandangan ke seberang jalan. Lampu isyarat pejalan kaki sudah hijau. Orang lalu-lalang sudah ramai melepasi tempat di mana kau berdiri, tetapi kau tetap berganjak. Masih kekal di situ seorang diri.

            Petang itu mungkin tidak sama seperti petang semalam bagi orang lain, tetapi tidak buat dirikau. Kerana setiap petang yang kau lalui, serupa. Dan tidak akan pernah mengubah erti apa-apa dalam hidup.

            Tiba-tiba kakikau melangkah perlahan melintas jalan ketika lampu isyarat pejalan kaki masih merah. Sebuah lori yang sedang laju berada di atas jalan tidak sempat berhenti ketika melihat kau sudah berada di hadapannya. Bunyi tayar lori bergeseran membingit telinga. Satu dentuman kuat mengejutkan mereka yang berada di sana.

            Kau nampak tubuhkau terbaring menggeletak di atas jalan berlumuran darah. Kau dengar suara-suara manusia mula menjerit antara satu sama lain. Kesakitan tubuh yang teramat sangat. Perlahan-lahan nyawa kau pergi meninggalkan jasad yang tidak mampu bertahan dengan kematian. Kau berlalu pergi. Esok, pada waktu yang sama, kau akan berdiri di sini lagi. Berhadapan dengan lori yang sama. Dan kau tidak akan pernah tahu bagaimana ini semua akan berakhir.

            Inilah balasan untuk kau kerana mengambil nyawa sendiri di saat Tuhan masih memberi pinjaman nyawa untuk kau hidup.

Comments