Pergilah kau dalam keadaan duka.

 


4 Januari 2023

Perginya Duka

 

Kau yakin kehidupan ini tidak selamanya indah. Senang dan duka datang silih berganti. Kau tahu perkara ini semakin memantapkan hati untuk kaunilai kehidupan dunia ini adalah sementara. Bahagia itu sementara. Sedihnya juga sementara. Kausedar hakikat kehidupan di dunia ini memang begitu.

            Kaujalan sendiri menongkah arus manusia di pasar malam itu. Terbayang di situlah dahulu kehidupankau bersama anak-anak bermula. Bersama sang suami yang memerah keringat dan menghempas pulas kudrat mencari nafkah buat keluarga. Menitis air mata kaubayang saat jatuh bangun keluarga.

            Pernah kau tersilap menyalahkan Tuhan kerana nasib keluargakau masih di takuk lama biarpun sudah lama kau berusaha. Namun, kau tidak pernah berhenti berusaha. Demi sesuap rezeki ke mulut anak-anak, kau dan suami teruskan berniaga. Walau kadang-kala ada hari tiada langsung pelanggan datang ke warungkau.

            Tahun demi tahun berlalu, ekonomi dan perniagaan keluargakau semakin memberangsangkan. Keuntungan sudah berjaya dilipat kali gandakan. Keinginan anak-anak sudah boleh ditunaikan. Tiada lagi rengekan yang tak berjaya kauhapuskan.

            ‘Tak mengapalah mewahkan mereka, dulu mereka sudah hidup susah bersama.’ Kaubicara sendiri.

            Kemewahan keluargakau semakin hari semakin menggunung. Kini kau tidak lagi ke warung. Suamikau juga sudah tidak lagi memandu vannet lama berwarna putih. Telah diganti dengan pacuan empat roda yang lebih elegan pada pandangan mata.

            “Biar orang yakin dan percaya dengan kita,” kata suamikau.

            Ya. Kini kau dan suami kerap dipanggil ke mana-mana ceramah motivasi perniagaan. Kau dan suami menjadi sumber inspirasi ahli perniagaan yang lain. Kau berjaya mendaki anak-anak tangga dari dasar yang paling bawah sekali menuju ke menara paling tinggi. Suamikau banyak membantu urusan dokumentasi dan perundangan perniagaan. Kau yang bertindak sebagai mastermind dalam pembangunan bisnes keluarga ini.

 

            “Kita kena percaya, usaha adalah segalanya.”

            “Lepas dah berjaya, tunjuk bukti kepada semua yang sudah memperlekehkan kita. Mereka silap besar tentang kita.”

            “Tanpa usaha kita untuk berjaya, sampai mati kita tak akan kaya. Kita kena kaya untuk bantu orang lain.”

            Begitulah ayat-ayat yang kau selalu cakap kepada mereka yang mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada kau. Hingga kaulupakan satu perkara paling besar yang memberi impak dalam hidupkau.

 

            “Mak! Ada polis telefon.” Segera kau mengambil alih perbualan di telefon daripada anakkau.

            Kau terduduk sebaik sahaja mendapat khabar daripada pegawai yang menelefon tadi.

Pantas kau membawa anak-anak masuk ke kereta. Sepanjang perjalanan ke bilik mayat hospital, air matakau tidak putus-putus mengalir.

            ‘Ya Allah, ujian apa lagi yang Kau berikan untuk aku.’ Kau bercakap sendiri.

            “Mak, kenapa mak nangis? Kita nak pergi mana ni?” Anak-anak kau mula menyoal sepanjang jalan.

            Kau terpaksa mendiamkan diri. Tidak tahu bagaimana mahu ceritakan kepada mereka, bahawa ayah kesayangan mereka telah tiada. Ayah yang selalu membuat mereka ternanti-nanti kepulangan si ayah itu tidak akan kembali lagi ke rumah. Ayah yang selalu menghiburkan hati anak-anak itu tidak lagi menghiburkan pada malam ini.

           
            Perkarangan kawasan bilik mayat hospital nampak lengang. Kelihatan beberapa orang kenalan, keluarga dan ahli perniagaan yang mengenali suamikau sedang menanti di kerusi yang telah disediakan.

            “Takziah puan. Kalau ada apa-apa bantuan yang diperlukan, mesej saya dan suami ya.” Beberapa orang kenalan suamikau menyapa dan mengucap takziah.

            Kau dan anak-anak masuk ke dalam ruang yang dikhaskan untuk melihat wajah si mati buat kali terakhir. Kelihatan wajah suamikau bersih, putih. Siap dikapankan. Laju pengurusan jenazah di hospital itu. Sebaik sahaja kauterima panggilan telefon dari balai polis tadi, kau terus menelefon pembantu peribadi suamikau. Kauminta tolong uruskan apa-apa jua perkara yang melibatkan urusan jenazah. Memandangkan suamikau tiada waris lain selain kau dan anak-anak, maka tiada siapa lagi yang patut kau tunggu untuk urusan pengebumian. Di dalam bilik itulah, seluruh pandangan kau terus gelap. Kausangka kau telah bersedia untuk kehilangan dia. Namun tidak, separuh nyawakau juga pergi bersama si suami.

 

 

* * *

 

Julangan api semakin meninggi. Beberapa orang di hadapan kau mencampakkan diri mereka sendiri ke dalam pintu itu. Bunyi raungan dan gejolak api semakin mendebarkan hatikau yang sedang berdiri beberapa langkah sahaja lagi ke muka pintu itu. Penyesalan yang amat sangat ketika itu sudah tidak dapat dibendung. Kau sudah tidak mampu lagi untuk kembali ke dunia.

“Sayang, apa kata lepas ni sayang pakai baju yang longgar sikit. Tudung dah cantik dah tu, tapi baju tu tak sesuailah abang tengok sayang pakai buat naik atas pentas. Ramai orang tengok tu nanti.”  

“Sayang, abang rasa kita slow down sikit urusan perniagaan ni boleh tak? Abang nak jemput ustaz datang rumah ajar kita tentang al-Quran.”

“Sayang, Allah dah beri kita rasa susah. Allah yang bagi kita rasa senang sekarang. Abang rasa kita tak perlu risau sebenarnya. Allah yang tolong kita. Bukan usaha kita semata.”

Satu persatu nasihat suami kau buat tak peduli. Malah kau beri alasan yang membuatkan suamikau selalu serba-salah.

“Tapi sayang dah lama teringin nak pakai baju ni. Tak apa abang. Nanti lighting atas pentas tu kita tone down. Tak nampaklah bayang-bayang ke bentuk ke apa-apa ke. Abang jangan risau eh.”

“Ustaz? Er…ok. Tapi kalau sayang balik kerja lambat ke ada urusan lain ke, abang dan anak-anak mulakan dulu tau. Tak perlu tunggu sayang.”

“Tapi di mana Allah masa kita susah dulu? Masa kita berpanas hujan tepi jalan niaga air. Mana Allah?” Terbayang dalam fikirankau si suami menangis teresak-esak mendengar jawapankau yang cabul itu.

 

 

“Ya Tuhan, bukankah dosa isteri ditanggung oleh suami?”

“Kenapa aku berseorangan di sini?”

Kau bertanya ketika langkahan kaki semakin menghampiri pintu itu.

 

 

وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا

al-An’am:164

Maksudnya: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya.”

 

 

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ وَإِن تَدْعُ مُثْقَلَةٌ إِلَىٰ حِمْلِهَا لَا يُحْمَلْ مِنْهُ شَيْءٌ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰ

Fatir:18

Maksudnya: “Dan (ketahuilah) bahawa seorang pemikul itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika berat tanggungannya (dengan dosa), lalu memanggil (orang lain) untuk menolong agar dipikul sama bebanan tersebut, maka tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya walaupun orang yang meminta pertolongannya itu daripada kaum kerabatnya sendiri.”

 

  

            Suamikau sudah menjalankan tanggungjawabnya dengan menasihati dan membawa keluargakau ke arah kebaikan. Namun kau tetap memilih ke arah kehancuran. Inilah kehidupan yang abadi.

 

Daripada Abdullah bin Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan kamu akan ditanya berkaitan orang dibawahnya. Seorang Imam (ketua atau pemimpin) ke atas manusia adalah pemimpin dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Dan seorang lelaki adalah pemimpin kepada keluarganya dan dia akan ditanya berkaitan perihal mereka (ahli keluarganya).” [Riwayat Muslim (1829)]



            
Pergilah kau dalam keadaan duka menuju kehidupan abadi, selamanya. Dari dalam julangan api itu, kaunampak si suami dan anak-anak dalam usia yang hampir sebaya dan sama sedang ketawa dan menikmati keindahan dan kenikmatan di dunia syurga. Kau di sini, membayar segala pilihan salah ketika berada di dunia.

 

           

           


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

al-Tahrim:6

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu serta ahli keluarga kamu dari api neraka.”

 




Comments