Minggu lepas

 

Minggu Lepas.


Kereta yang dipandu tiba-tiba tersengguk-sengguk di pertengahan jalan. Kiri dan kanan jalan hanya ada hutan. Lampu jalan ada, tetapi tidak banyak. Tidak banyak untuk menerangi malam yang semakin terasa seram dengan pokok-pokok yang meninggi di tepi jalan itu. Aman mendengus nafas kegeraman. Dia membuka bonet kereta.

            ‘Apa lagi masalah kau ni, aku dah betulkan beberapa kali. Waktu aku nak cepat macam nilah, kau rosak.’ Aman menggumam dalam hati.

            “Kereta rosak?” Sapa seseorang dari belakang Aman. Hampir terduduk Aman kerana terperanjat disergah begitu. Aman mengangguk perlahan.

            “Bengkel jauh dari sini. Kamu ikut pak cik. Kita tunggu esok pagi.”

            “Eh tak apa. Saya tunggu di sini saja.”

            “Kau mungkin tak nak tunggu di sini sampai jam 12 tengah malam seorang diri begini.” Pak cik tua itu terus berlalu meninggalkan Aman terpinga-pinga. Dia kekal berdiri di hadapan keretanya itu.

            Aman menelefon kawannya yang sepatut dia berjumpa sebelum keretanya itu rosak di tengah jalan. Dia memberitahu kawannya itu keadaannya ketika itu. Aman berasa lega kerana kawannya sudi datang mengambilnya pada malam itu juga. Tidak perlulah dia menunggu hingga esok pagi.

            Aman duduk di dalam kereta. Menanti kawannya tiba. Setiap minit yang berlalu terasa lama sungguh. Perutnya mula tidak selesa. Memulas tidak tentu hala. Diurut-urut perutnya, namun tidak lega. Rasa mual mula muncul. Aman terus keluar dari kereta dan menuju ke bahu jalan. Dia perlu membuang isi perutnya. Peluh mercik di dahi. Dia akhirnya rebah ke tanah. Di bahu jalan. Dalam kepekatan malam. Menanti kawan yang tidak kunjung tiba.

            “Aman! Aman! Ya Allah, mana kau pergi nak!” Raungan si ayah memecah suasana di hospital itu. Tubuh si anak yang tidak bernyawa itu dipeluk erat. Luluh hati si ayah mendapat berita kehilangan anak kesayangan sejak minggu lepas. Hanya hari ini tubuh si anak ditemui di tepi jalan tidak jauh dari tempat keretanya tersadai kerana rosak. Pencarian dilakukan oleh pihak polis hanya menemukan kereta Aman yang telah rosak tanpa kelibat Aman. Seorang lelaki tua yang mengatakan dia juga telah mengajak Aman ke rumahnya turut membantu pihak polis. Berkali-kali kawasan tempat Aman ditemui itu diperiksa oleh pasukan polis dan kawan-kawan Aman yang datang untuk mengambilnya pada malam itu, namun hampa.

            Tubuh Aman yang tidak bernyawa ditemui oleh sekumpulan anak muda yang sedang berkonvoi di jalan yang sama seminggu kemudian. Misteri kematian Aman tidak dapat dirungkaikan oleh pihak polis. Anak muda yang sihat, tiba-tiba meninggal di bahu jalan dan tidak dapat ditemukan lebih awal di lokasi kejadian kekal menjadi misteri.

Comments