Penghujung 2018 menjadi saksi aku melalui ketentuan yang Allah telah takdirkan.
Satu perkara yang sama sekali aku tidak menyangka ianya terjadi kepada aku. Satu
perkara yang selalu aku hanya saksikan, aku dengar dan bantu dari kejadian yang
berlaku kepada orang lain iaitu pesakit atau mereka yang datang ke hospital.
Kejadian itu menjadi asbab kepada aku mengalami
satu episod suram dalam hidup. Perkara yang selama ini aku suka buat, aku
abaikan. Anak menangis, aku abaikan. Anak perlukan perhatian, aku abaikan.
Tugasan rumah , aku biarkan. Hatta pernah terlintas di hati, “kalaulah aku
tidak kerja, aku tidak sambung belajar, pasti kejadian ini tidak berlaku kepada
aku. Sudah pasti anak aku selamat..”
Nauzubillah. Astaghfirullah. Astaghfirullah. Ampunkan aku ya Allah.
Peristiwa dan perasaan begitu berlarutan, aku menangis berhari-hari. Berbulan
lamanya aku membiarkan emosi ini menguasai diri. Suami menjadi peneman dan
pendengar setia hampir setiap hari. Acara keluarga banyak yang aku tidak hadiri,
kerana aku ingin menyelamatkan jiwa hampir mati. Tidak mahu lagi menyesakkan
dada dengan membiarkan kata-kata mereka masuk ke dalam kepala. Mereka tak tahu
apa yang aku simpankan dalam hati , mereka tak tahu apa yang mereka ucapkan
mampu membuatkan satu jiwa takkan mampu bangkit kembali.
“Kalau anak-anak tak ada, pasti aku tak jadi begini..”
Itulah lintasan yang mengejutkan. Ya
Allah. Aku pantas beristighfar. Aku berlari peluk anak-anak. Ketika itu Harraz
baru berusia 7 bulan.
Sebagai seorang jururawat ketika itu, aku tahu apa perubahan fisiologi otak aku
sedang alami, symptom – symptom yang aku alami menunjukkan ada sesuatu yang
serius sedang berlaku. Cuma, aku membiarkannya dengan lama hingga badan tidak
mampu menanggungnya. Ketika itulah Dass Test dilakukan buat kali kedua, dengan
keputusan yang sangat mengejutkan.
Aku mesej kawan yang merupakan seorang doktor ketika itu, dia beri pilihan,
dapatkan rawatan klinikal psikologi atau mahu cuba cara sendiri memandangkan
dia tahu aku sedar aku perlu berubah, aku tahu di mana punca pencetus kepada
kejadian ini.
Aku memilih untuk selesaikan cara sendiri, dan aku janji aku akan dapatkan
rawatan pemulihan klinikal jika keadaan bertambah teruk.
Alhamdulillah. Aku tidak berada pada tahap ini pada tahun 2021 tanpa bantuan
dari Allah. Segala pilihan yang aku lakukan, aku sedar kesan dan akibatnya.
***
Kesihatan mental. Kenapa penting untuk diberi
perhatian? Bagaimana melihat kesihatan mental dari panduan Al Quran dan Al
Sunnah?
1. Kita semua mencari tujuan hidup. Tanpa tujuan hidup, manusia akan
meraba-raba dalam kegelapan dunia tanpa arah tuju.
Ibn Hazm, seorang cendekiawan Islam terkenal dari Andalusia berkata,“ Saya
mencari matlamat bersama dalam kalangan manusia, yang mana kesemua bersetuju
untuk mencapai kecemerlangan, namun akhirnya saya tidak menemui apa apa selain
dari kegelisahan berpanjangan dan tidak disenangi pula oleh orang lain.”
Perkara begini berterusan hingga ke hari ini. Berterusan dan berpanjangan kita
mencari makna kecemerlangan dalam hidup. Setiap dari kita punya definasi
kecemerlangan berbeza dari perspektif dunia. Sedangkan dalam Al Quran, Allah
sudah tunjukkan definisi kejayaan menurut panduan Quran.
Sepertimana yang disebutkan dalam surah AL
Baqarah ayat 1 hingga 5.
Alif Lam Mim.
Kitab Al-Quran ini, tidak ada
sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya);
ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;
Iaitu orang-orang yang beriman
kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang
serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan
kepada mereka.
Dan juga orang-orang yang beriman
kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad),
dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan
(adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
Mereka itulah yang tetap mendapat
petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.
Kemajuan , kemegahan, kekayaan, populariti tidak menjamin kebahagiaan. Walaupun
sebilangan besar mengatakan mereka bahagia dengan kemajuan yang mereka rasa,
mereka bahagia dengan kebahagiaan yang mereka cipta, tetapi di hujung
perjalanan itu mereka temui kesedihan yang tiada siapa mampu isi kelompongan
itu.
Faktor utama yang menjelaskan kepelbagaian definisi “berjaya” ini ialah
kemampuan dan keupayaan mereka mencari dan mencapai makna tujuan hidup. Mereka
yang tahu erti dan tujuan mereka di atas dunia, pasti tidak akan berakhir
dengan kesedihan di hujung hayat mereka.
Ramai selalu percaya bahawa kebahagiaan yang dicipta dengan hiburan, kekayaan, harta benda,
kemewahan dan limpahan rezeki berpanjangan membolehkan mereka melarikan diri
dari perasaan gelisah dan kesedihan. Malangnya , itu semua hanya sementara. Kesedihan
itu akan datang kembali selepas apa yang dikecapi itu berakhir. Sedih akan
datang bila nyanyian tamat. Sedih akan muncul kembali bila makanan habis
dimakan. Sedih akan muncul kembali bila tayangan filem tamat. Sedih akan muncul
kembali bila duit sudah habis di tangan. Tak salah untuk meredakan sedikit
emosi sedih, yang dikhuatirkan adalah pemikiran bahawa dengan harta, kemewahan,
hiburan, makanan itulah yang akan menghilangkan kesedihan itu secara kekal.
Ibn Hazm berkata, “Apabila anda berfikir mendalam tentang semua urusan duniawi,
anda akan mengalami kerugian. Renungan itu pasti membawa anda kepada pemahaman
bahawa segalanya di dunia ini bersifat sementara.
Oleh itu, seseorang harus menyedari bahawa tujuan sebenar kita diciptakan ,
tujuan sebenar kita ada dan wujud atas muka bumi ini adalah untuk menuju kepada
kehidupan yang lebih abadi.
Apa yang dikejar di dunia ini akan berakhir dengan kesedihan kerana semuanya
sementara. Tidak ada jalan keluar dari kesedihan itu melainkan kita berusaha ke
arah Tuhan yang menciptakan kita. Di situlah kita akan jumpa kebahagiaan yang
tidak ternilai harganya.
Dalam satu kajian juga menyebutkan , Ibn Hazm menjelaskan tentang sifat
sementara dunia ini akan membawa sesorang itu ke dalam krisis eksistential.
Apa itu ekstential? Fahaman atau fikiran tentang kewujudan, pembentukan diri
manusia, sifat-sifat yang dan juga tentang kewujudan alam lalu dikaitkan dengan
ketuhanan. Cabang ini dipelopori oleh para ahli falsafah abad ke-19 dan
ke-20 di Eropah, terutamanya paling menonjol oleh oleh Soren
Kierkegaad, Friedrich Wilhelm
Nietzsche dan Martin
Buber. Apabila pemikiran ini tidak dilandaskan dengan pemahaman
yang benar mengikut syariat, maka lahirlah fahaman Athies, dan ketidakpercayaan
kepada hari akhirat, pembalasan, kerana akal tidak akan mampu menghadam perkara
ghaib iaitu tentang konsep Tuhan. Lebih menakutkan apabila individu yang sedang
berada dalam fasa kegalauan emosi, sedang bersedih, sedang berada di peringkat
paling jatuh, mereka adalah individu yang lebih terjebak kepada fahaman
sebegini.
Jika perasan, Rasulullah lebih awal mengajarkan kita tentang tauhid Rububiyah
kepada Allah swt.
Konsep tauhid Rububiyyah kepada Allah inilah tauhid di mana
kita jelas dan yakin, Iktikad secara pasti bahawa Allah satu-satunya Pencipta,
Pemberi Rezeki, Yang menghidupkan dan mematikan serta yang mengurus keseluruhan
urusan makhluk serta tiada sekutu baginya dalam perkara tersebut.
Landasan pemahaman kita dalam beragama menjadi paksi utama dalam keberjayaan
kita di akhirat sana. Paling asas kita perlu sedar siapa yang menciptakan,
mengatur, memberi rezeki, menghidupkan dan mematikan kita. Disitulah
tertegaknya tauhid Rububiyyah kita.
2. Perbezaan tahap kemampuan individu untuk
memproses peristiwa dalam kehidupan.
Ramai cenderung untuk bercakap tentang kesihatan mental dalam istilah biologi
semata-mata. 100% tiada kaitan dengan Al Quran kata mereka.
Ya. Memang benar kesihatan mental itu melibatkan rembesan neurotransmitter di
dalam otak yang kita boleh bahagikan kepada beberapa komponen antaranya
Dopamine, Serotonin dan Noradrenaline.
Walaupun benar adanya penglibatan komponen ini dalam perubahan kesihatan
mental, namun ia bukan satu-satunya komponen untuk menjelaskan keseluruhan keadaan
itu. Psikologi moden telah mengakui adanya peranan aspek kerohanian di dalam
kestabilan emosi jangka panjang kesihatan mental. Ingat, jangka panjang.
Pengambilan ubatan dan terapi luaran membantu mengurangkan kesan yang telah
dialami, kerana rembesan neurotransmitter itu telah memberi kesan kepada
individu, namun dengan penglibatan aspek kerohanian dalam tempoh jangka
panjang, ianya membantu individu terbabit untuk tidak bergantung sepenuhnya
kepada perubatan dan terapi luaran itu lagi.
Dr. Robert Emmons, seorang penyelidik terkemuka dalam psikologi kerohanian,
mencadangkan bahawa kerohanian harus dianggap sebagai jenis Multiple
Intelligence manusia secara berasingan.
Ini bermakna, setiap dari kita pasti ada kecenderungan memegang satu konsep
kerohanian, tetapi yang membezakan adalah sekuat mana pegangan kita kepada
konsep kerohanian kita tadi. Sebagai muslim, sudah pasti pegangan kita adalah
beriman kepada Qada’ dan Qadar Allah itu sendiri.
Kecerdasan rohani bermaksud keupayaan
seseorang untuk memproses dunia sekeiling mereka dan menemui maknanya. Dalam
Islam, konsep ini melibatkan satu proses dipanggil Tadabbur Quran dan Tafakkur
Alam. Proses di mana mereka akan melihat ayat-ayat Allah yang bergerak di depan
mata. Sebagai contoh, apabila kita melihat rimbunan daun menghijau di pokok,
kita akan melihat proses dedaunan itu tadi akan bertukar menjadi kuning dan layu
lalu diterbangkan angin. Begitu juga dengan kehidupan manusia yang pasti ada
saat kematiannya. Apabila seseorang cenderung untuk sensitive kepada perkara
begini, secara tidak langsung ianya akan menguatkan keyakinan hati, inspirasi,
keyakinan, rasa sykur dan ketekunan dalam mentaati perintah Allah.
Orang yang mempunyai kemampuan eksistential yang tidak terpandu dengan petunjuk
Quran dan Sunnah sudah pasti akan cuba merungkai segala penemuan berlandaskan
logic akal semata-mata, ini yang akan membawa individu ini ke lembah kerisauan
yang bermaharajalela dalam diri kerana banyak persoalan yang tidak dapat
dirungkai oleh akal fikiran manusia yang terbatas.
Diambil kenyataan ini dari satu jurnal ‘Journal of Family Practise’ (1992, muka
surat 201-205), penulis membuat kesimpulan akhirnya dengan menyatakan bahawa,
“Apabila sesuai, isu-isu rohani harus ditangani dalam penjagaan pesakit kerana
mungkin mereka mempunyai kesan positif terhadap kesihatan dan tingkah laku, dan
kami mengesyorkan agar model perubatan diperluaskan kepada
biopsikososial-spiritual..”
Seperti mana yang telah diterangkan oleh Ibn al Qayyim dalam kitabnya Zaadul
Maad, masa lalu tidak boleh diubah atau diperbetulkan dengan kesedihan, tetapi
sebaliknya dengan keredaan, kesyukuran, kesabaran, keimanan kepada takdir dan
pengakuan verbal yang semuanya berlaku oleh ketentuan Ilahi.
Beliau meneruskan penerangan tentang sabar dengan perbezaan 3 konotasi berbeza
dari segi linguistic sabar itu sendiri.
1. Sabar itu adalah menahan diri.
2. Sabar itu adalah kekuatan.
3. Sabar itu adalah membina.
Beliau menerangkan sabar adalah kekuatan dari dalam diri sendiri yang
membuatkan manusia bertindak dengan cara yang membawa manfaat kepada diri
sendiri. Inilah yang dinamakan pengawalan diri.
Dr. Timothy J. Strauman telah lama mencadangkan bahawa kemurungan klinikal
sebenarnya berpunca dari gangguan pada sistem
pengawalan diri.
3. Kemampuan memutuskan lintasan hati dan bisikan yang mengundang kemudaratan
dari awal.
Ibnul Qayyim Al Jauziyyah dalam kitabnya (Fawaidul Fawaid) Meraih Faedah Ilmu
muka surat 256 , beliau mengatakan lintasan hati dan bisikan itu mendorong
kepada pemikiran, pemikiran mendorong kepada ingatan, ingatan mendorong kepada
keinginan, keinginan mendorong kepada perbuatan yang nyata depan mata lalu
perbuatan ini menguasai diri lalu dibiasakan. Oleh kerana itu, menghalau
lintasan hati ini dari awal permulaan ia wujud dalam fikiran adalah lebih mudah
dari memutuskannya setelah ia kuat dan terpasak dalam ingatan dan tindakan kita.
Namun, tidak semua mampu memutuskan bisikan dan lintasan hati yang telah
menguasai di dalam tindakan dan pemikiran, di sinilah peranan perubatan bertindak
untuk mengurangkan rembesan neurotransmitter yang mula ‘membanjiri’ otak.
Setelah itu, barulah pelan tindakan lain boleh dinasihatkan kepada individu
tersebut.
3. Panduan dari doa Rasulullah untuk menangani keresahan dan kemurungan.
“Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hamba lelakiMu, anak
kepada hamba perempuanMu. Dahi ini dalam tanganMu. PenghakimanMu kepada aku
terjamin dan keputusanMu mengenai aku adalah adil. Aku pohon kepadaMu dengan
semua namaMu, yang ditunjukkan dalam Quran, yang diajar kepada ciptaanMu, atau
yang disimpan di dalam pengetahuan ghaib iaitu Engkau untuk menjadikan Al Quran
sebagai musim bunga dalam hatiku, cahaya dalam dadaku, dan penghapus kesedihan
ku dan membebaskan aku dari kesusahanku.
Perkara utama yang perlu kita ketahui ialah keresahan dan kemurungan tidak
dianggap sebagai petunjuk kepada penyakit mental. Melainkan beberapa kriteria
klinikal lain tertentu telah dipenuhi.
Perasaan cemas, resah, risau dan murung itu boleh jadi menjadi satu mekanisma
tindak balas respon badan kita kepada sesuatu perkara yang telah berlaku kepada
kita dan sekeliling kita. Ianya berguna untuk kita melalui satu keadaan yang
sukar.
Contoh : Aku risau anak aku jatuh dari kereta
kalau dia keluarkan kepala semasa kereta bergerak. Kerisauan itu membuatkan
kita bertindak untuk tutup tingkap kereta.
Itu kerisauan yang normal.
Anxiety atau kerisauan yang teramat sangat ini mempunyai beberapa kriteria
lain, sebagai contoh kerisauan sampai ke tahap susah bernafas, berpeluh-peluh,
rasa risau untuk perkara-perkara kecil dan beberapa perkara lain. (Kita tak
akan bincangkan tentang itu dalam artikel ini)
Ketika artikel ini ditulis, aku memang dapat rasa
pasti akan ada suara-suara mengkritik tentang ini. Maka, awal-awal aku akan
nyatakan bahawa, terdapat keseimbangan halus yang perlu diambil dalam menangani
isu kesihatan mental ini. Pegangan rohani yang kuat perlu seiring dengan
keperluan komponen rawatan biologi jika individu tersebut memang memenuhi
kriteria perlu mendapatkan rawatan perubatan secara klinikal.
Sebagaimana yang telah dikatakan oleh Ibn al Qayyim berabad-abad sebelum
kehadiran psikiatrik moden lagi, beliau mengatakan, “Kategori kedua penyakit
hati didasarkan kepada keadaan emosi seperti kebimbangan, kesedihan, kemurungan
juga kemarahan. Jenis penyakit ini boleh dirawat secara semulajadi dengan merawat
sebab kepada punca keadaan emosi itu berlaku atau dengan mengambil ubatan yang
menghalang kepada punca tersebut. Dan ini adalah kerana hati telah diganggu
oleh apa yang yang telah membahayakan tubuh dan sebaliknya.”
Kenyataan ini juga perlu dibaca bersama konteks
yang bersesuaian dengan sifat akal manusia itu sendiri di mana akal ini
sifatnya mudah teradaptasi, boleh berubah mengikut situasi. Maka, sebenarnya
telah Allah jadikan akal dan fisiologinya cuba menyesuaikan diri dalam keadaan
emosi, fikiran, sikap yang pelbagai. Lalu dengan perubahan neurokimia yang
berlaku kepada otak ini sebenarnya dapat mengurangkan kebergantungan diri
kepada intervensi perubatan yang melampau.
4. Kupasan doa Rasulullah s.a.w.
Pentingnya kita tadabbur doa yang dibacakan oleh Rasulullah ini agar kita faham
apa yang kita bacakan, kita fokus dan khusyuk saat membacakan doa ini dengan
penuh pengharapan kepada Allah s.w.t.
Bahagian 1 – Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hamba
lelaki Mu, anak kepada hamba perempuan Mu.
Salah satu faktor penting dalam proses mencari sumber kekuatan untuk bangkit
semula ialah mempunyai kesedaran diri yang kuat.
Doa ini bermula dengan diri kita mengaku posisi kita di dunia ini sebagai apa?
Kita hidup atas dunia dengan sentiasa berinteraksi dengan manusia lain memakai
‘topi’ peranan berbeza. Kita takkan mampu jalankan tanggungjawab sebagai ibu
bapa yang baik jika kita melayan anak dengan memakai ‘topi’ seorang bos di
syarikat. Kita takkan mampu jalankan tanggungjawab yang baik kepada pekerja
jika kita memakai topi ‘pekerja’ juga. Kita takkan jadi sahabat yang baik jika
kita mengganggap diri kita sebagai seorang abah kepada kawan kita. Kita memakai
‘topi’ berbeza dalam setiap situasi yang berbeza dalam kehidupan.
Doa ini mengingatkan kita siapa diri kita sebenarnya. Siapa kita? Hamba.
Yang membuatkan kita resah, gelisah, murung, risau adalah kerana kita terlalu
memikirkan perkara yang berada luar dari kawalan kita. Kita takkan mampu buat
kerana siapa diri kita. Kita hanya hamba. Kita berpegang kepada doa ini untuk
mengakui bahawa peranan utama dan asas yang merangkumi semua peranan kita atas
dunia ini adalah perhambaan diri kepada Allah , Tuhan semesta alam.
Apabila kita menjalankan tanggungjawab di atas muka bumi sebagai hamba kepada
Allah, kita akan mendapat kejelasan tentang bagaimana kita harus bertindak
balas dalam apa jua situasi dalam kehidupan.
Ramai menafikan konsep perhambaan dan penyerahan diri ini sebagai memalukan
atau menafikan hak diri sedangkan di dalam Islam, perhambaan inilah yang
membawa kepada darjat tertinggi di sisi Allah, Tuhan semesta Alam.
"Maha
Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-nya pada suatu malam dari Masjidil
Haram ke Masjidil Aqsha yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan
kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha
mendengar lagi Maha mengetahui." (QS. Al-Isra': 1)
Apabila kita mengisytiharkan diri
kita adalah hanya hamba kepada Allah kita sebenarnya telah memerdekakan diri kita
dari segala apa yang ada atas dunia ini. Kita bebas dari segala perkara yang
membuatkan kita bersedih hati.
Hubungan yang kita ada, ornag yang kita sayangi,
karier yang kita kagumi, harta yang kita miliki, penghormatan yang kita terima,
semua ini boleh hilang dalam sekelip mata. Kerana semua itu sementara
sahaja. Tetapi kita takkan hilang status
kita sebagai hamba Allah. Al Quran merujuk kenyataan ini di dalam surah Al
Hadid ayat ke 20.
Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia
itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan
hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup
yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan
bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak;
(semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman
yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada
kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang
tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi
hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab
yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia
itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi
orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia
ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
Bahagian 2 – Dahiku berada di tanganMu. PenghakimanMu kepada aku terjamin dan
keputusanMu kepadaku adil.
Bahagian kedua ini, Rasulullah ajarkan kita tentang beriman kepada Qada’ dan
Qadar Allah. Takdir adalah konsep yang kuat dalam Islam yang membolehkan
seseorang benar-benar boleh bergerak dari kesilapan lalu yang telah kita
lakukan atau kebinasaan yang telah menimpa mereka. Doa ini mengingatkan kita agar sentiasa ingat
bahawa Allah tidak akan mendatangkan sesuatu itu sia – sia.
Kehebatan orang mukmin itu ada dalam kehidupannya. Setiap perkara itu baik
untuk mereka. Jika mereka gembira, mereka bersyukur kepada Allah da nada
baiknya untuk mereka. Jika mereka ditimpa musibah, mereka sabar, lalu ada
baiknya untuk mereka.
Kepercayaan beginilah yang mampu
menggerakkan kita untuk tidak bertanya soalan, “Mengapa aku yang kena musibah
ini, bukan orang lain?” jika ditimpa musibah. Keupayaan diri untuk mencari
makna di sebalik musibah dan kesukaran adalah kualiti utama dalam leindungi
diri dari perasaan kemurungan dan kesedihan berpanjangan.
Kalian boleh baca kisah Viktor Frankl, seorang mangsa yang terselamat dari kem
pembunuhan beramai-ramai. Sudah pasti trauma itu menghantuinya, tetapi dengan
pendekatan psikoterapi yang berasaskan makna membantu beliau dan rakan yang
lain mengatasi kengerian yang mereka alami. Karyanya bertajuk, Man’s Search for
Meaning.
Kisah –kisah para anbiya juga boleh dijadikan panduan dalam kita lalui
kehidupan yang penuh dengan liku liku yang panjang.
1. Kisah Nabi Yunus – La Ilaha Illa anta subhanaka fainni kuntum minazzolimin.
2. Kisah Nabi Ibrahim ketika dicampak ke dalam api – Hasbunallaha nikmal wakeel
nikmal maula wannikman nasser.
3. Kisah Nabi Adam diturunkan ke dunia –
4. Kisah Nabi Musa sebaik sahaja telah keluar dari Mesir selepas dikejar.
5. Kisah Nabi Yusuf sebaik sahaja dipertemukan semula dengan adik beradik serta
ayahnya.
Tiada langsung permintaan yang dibuat oleh mereka di dalam doa-doa mereka,
melainkan mengharapkan apa saja yang Allah berikan untuk mereka, iaitu
keampunan, bantuan, pertolongan. Kerana sebagai manusia, kita langsung tiada
apa apa tanpa Allah.
Kita perlu sedar bahawa, dalam dunia yang penuh dengan liku liku, kita tak akan
mampu ke mana mana tanpa bantuan Allah. Kita takkan mampu tahu mana pilihan
yang betul atau salah tanpa Allah bantu.
Kita takkan mampu teruskan perjalanan tanpa Allah. Takkan.
Bahagian 3 –
Aku bermohon dari Mu dengan setiap nama yang telah Engkau namakan diri Mu, yang
diungkapkan dalam kitabMu, diajar pada salah satu dari ciptaan Mu atau disimpan
pada dirimu dalam pengetahuan tentang yang ghaib yang ada bersamaMu.
Bermohon bermakna kita berharap dengan Allah. Sifat berharap telah dikaitkan
dengan tahap kejayaan akademik, kesihatan fizikal dan juga psikologi. Harapan
menggerakkan manusia ke satu arah yang lebih baik selepas menempuh kesukaran.
Konsep ini juga menjadi metod dalam Islam iaitu melalui pengharapan (raja’)
kepada rahmat Allah.
Ibn al Qayyim juga menjelaskan konsep ini dalam satu kenyataan, “Ketakutan dan
harapan kepada Allah adalah seperti dua sayap burung yang digunakan untuk
terbang”. Tidak boleh satu sayap sahaja
yang berkepak, sudah pasti burung itu tidak dapat terbang ke atas.
Imam Ahmad rahimahullah berkata:
“Hendaknya khauf (rasa
takut) dan raja‘ (berharap) itu sama, tidak boleh mendominasi
rasa takut dan tidak boleh mendominsasi rasa berharap
Beliau
juga berkata:
“Apabila
salah satu dari keduanya mendominasi, orang tersebut akan binasa”
Karena
ketika rasa berharap kepada Allah lebih besar, seseorang akan merasa aman dari
makar (azab) Allah, dan jika rasa takut lebih besar maka ia akan putus asa dari
rahmat Allah.
Apabila individu tidak faham tentang keseimbangan ini, maka perjalanan hidupnya
akan mudah tersasar. Jika dia merasa aman, maka dia sesekali tidak akan merasa
takut ketika melakukan maksiat. Jika dia terlalu takut dengan dosa yang pernah
dilakukan, hingga tidak mampu untuk ada rasa berharap Allah akan ampunkan, maka
dia akan berputus asa dengan rahmat Tuhan. Di sinilah, emosi akan mula goyah.
Kerisauan melampau dan menjadi tidak tentu arah memikirkan nasibnya. Sungguh.
Allah sangat sayangkan kita, pasti ada jalan kembali kepadaNya.
Bahagian 4 – Jadikan Al Quran musim bunga di hatiku, cahaya di dadaku,
penghalau kesedihanku dan penghapus kesengsaraanku.
Dan (ingatkanlah tentang) hari Kami bangkitkan dalam kalangan tiap-tiap umat,
seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri; dan Kami
datangkanmu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu);
dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi
hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi
orang-orang Islam.(Surah An Nahl ayat 89)
Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (Al-Quran)
Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat
manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman - dengan izin
Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji. (Surah Ibrahim
ayat 1)
Hubungan akrab dengan bimbingan kitab ini seterusnya membolehkan corak
pemikiran kita yang sukar berubah menjadi pemikiran yang optimis, penuh
harapan, dan bermakna.
Di dalam Al Quran itu sendiri banyak ayat Allah berkaitan dengan fungsi akal
yang menguatkan kekuatan jiwa untuk terus menjalani kehidupan dunia yang
menjamin keselamatan di akhirat nanti.
Lama-kelamaan kita akan faham dan sedar bahawa Al Quran membentuk pola
pemikiran berorientasikan akhirat kerana kita sedar bahawa dunia ini hanya
persinggahan. Tiada apa yang perlu disedihkan sangat. Sedangkan Rasulullah juga
bersedih ketika kewafatan isterinya, pakciknya, anak lelakinya. Itu adalah
fitrah. Kesedihan orang tersayang. Namun, kerana kita yakin adanya hari
kebangkitan, kita pasti akan bersabar dengan ujian. Tiada apa yang perlu
dirisaukan sangat. Bila kita sedar, Allah ada disebalik semua yang berlaku,
kerisauan kita akan mampu diminimakan .
Kita hanya hamba. Hamba yang hanya memilih jalan apa yang Allah redha sahaja
agar kita akan kembali ke tempat rehat yang kekal abadi iaitu Syurga.
Penyerahan diri, kebergantungan dan harapan kepada Allah dapat dipupuk dalam
diri kita pada masa sulit melalui ayat-ayat Al Quran. Struktur kepercayaan ini
dibina dengan keindahan dan kemukjizatan Al Quran. Al Quran membantu kita
melihat dunia yang kita tidak mampu jelaskan dengan mata kasar. Al Quran
menenangkan jiwa yang resah, memberi ilham saaat kebuntuan, memberi pelukan
saat diperlukan dan mengelap air mata saat kita kesedihan.
Kesimpulan,
Kesihatan mental perlu ditangani dengan hikmah dan bijaksana. Kita sedang
bercakap tentang kerapuhan satu jiwa yang terperosok di dalam sana. Takkan
terluah dengan apa jua perkataan sekali pun. Aku pernah lalui keadaan itu.
Pernah merasai lintasan hati dan bisikan yang mampu membawa kemudaratan kepada
diri sendiri dan anak.
Jadi, Islam mementingkan soal nyawa dan kesihatan fizikal, emosi dan jiwa. Jika
emosi dan jiwa ini sakit, tubuh tidak akan berfungsi dengan baik. Kerana raja
tubuh itu adalah hati. Hati yang akan menggerakkan akal untuk bertindak dengan
menggunakan kekuatan fizikal.
Bagaimana mungkin kita mahu menafikan kesihatan mental ini tiada kaitan dengan
Al Quran?
Tidak. Ianya ada kaitan.
Sebagaimana yang Ibn al Qayyim sebutkan di atas tadi, jika perubahan pemikiran
itu berkaitan dengan punca yang kita nampak, boleh dirawat, maka ambillah tindakan
perawatan yang sewajarnya, sebelum kita datangkan pendekatan rohani. Kerana
ketika itu , pemikirannya sudah tidak lagi mampu memproses maklumat asas sekali
pun.
Ketika mereka terduduk di jurang paling dalam, hulurkan tangan, berikan mereka
harapan agar mereka dapat melihat cahaya itu kembali.
Bantu mereka.
Kerana kita juga dibantu oleh Allah untuk melihat arah tuju hidup kita.
Wallahu a’lam.
Rujukan :
Kertas kajian Puan Rosni Wazir.
(Tuntutan Kesihatan Mental Menurut Maqasid Al Sunnah)
Kertas Kajian Psikoterapi Islam menurut Al Quran dan Al Sunnah dalam mengurus
tekanan .
Kertas Kajian Dr. Zohair Abdul Rahman
Islam dan Kesihatan Mental.
Kitab Fawaidul Fawaid karya Ibnul Qayyim Al Jauziyah
Kitab Zaadul Ma’ad
Comments
Post a Comment