Kau tak nak muflis.





Kau berdiri di tepi meja jurujual pada hari itu. Menanti jurujual yang sedang menekan-nekan paparan nombor atas monitor di hadapannya.

          “Semua sekali Rm170, puan.”

          “Apa? RM170? Mahal gila kedai kau ni. Panggil pengurus kedai kau datang sini.” Kau menghentak meja dengan kedua telapak tangan. Sakit sudah tidak kau pedulikan. Kau hanya melayan ego depan manusia. Konon kau paling berkuasa.

          “Maaf puan. Harga barang ini memang begini puan. Lagi pun barang yang puan ambil memang berkualiti. Kalau puan mahu kualiti yang sama, tetapi kurang sikit harganya, mari ikut saya.” Jurujual di kaunter masih melayan kau penuh beradab.

          “Ah! Saya tetap nak yang ini, tetapi saya tak nak bayar harga ini. Kedai kau ini penipu. Atau kau yang jaga cashier ni menipu? Baik aku beli di shoppee. Lagi murah dari kedai kau.” Berubah riak wajah jurujual apabila kau herdik dan tuduh begitu. Beberapa pembeli yang sedang beratur di belakang kau mula bising-bising.

          Seorang lelaki muda keluar dari celah lorong rak komputer dan perkakas lainnya. Bergegas dia mendapatkan kau. Begitu beradab di memulakan bicara walau di hadapan manusia macam kau yang begitu lancang mulut bersuara.

          “Maaf puan. Boleh kita bincang di dalam?” Dia mengajak kau berbincang dengan baik. Kau berlalu di hadapannya dengan berlagak gaya diva yang semakin memuncak.

          “Kami minta maaf. Harga yang kami letak itu dah paling kurang dah puan. Kami tak untung banyak pun, puan.”

Kau tunjuk barang yang kau beli depan muka manager tersebut. Kau tunjuk power bank berbentuk petak, berwarna hitam tertulis 80K di badannya.

 “Ini yang kau kata RM170?”

          “Ya puan. Jenama dan kualitinya bagus. Jika puan mahu kualiti yang sama, tetapi murah sikit, kami ada. Saya..” Rendah sahaja suara pengurus kedai alat digital tersebut.
          “Aku tak nak yang murah. Aku nak yang ini.” Tak sempat pengurus tersebut menghabiskan bicara kau sudah memutuskan perkataannya dengan melampias nafsu amarah kepada barang-barang perniagaannya. Kau ugut untuk viralkan kedainya dengan tuduhan yang kau sangka benar pada pandangan mata kau.

 

Terpapar jelas depan mata kau ‘drama’ yang berlaku ketika itu. Tidak ada apa yang mampu kau lakukan saat ini. Semuanya sedang dibicarakan. Satu persatu kesalahan dan dosa yang kau lakukan dipaparkan. Kau tak mampu menjawab segala pertuduhan kerana semuanya ada saksi. Tiba-tiba mulut kau kelu tak boleh bersuara mempertahankan diri bagai menegakkan benang yang basah.

“Ya, akulah yang sepak pengurus waktu itu.” Tiba-tiba kaki kau boleh bersuara.

“Ya, aku juga yang baling barang dan rosakkan barang di kedai itu.” Tiba-tiba tangan kau juga boleh bersuara.

Kau tertunduk lemah melihat timbangan amal di hadapan mata. Bagaimana mungkin? Takkan tiada satu amalan kau di dunia. Kau solat. Kau puasa. Kau melihat pahala amalan kau berterbangan menuju ke arah seorang manusia tidak jauh dari kau. Itulah lelaki yang kau sepak dan rosakkan barangnya ketika di dunia dulu. Kau berlalu pergi tanpa meminta maaf sedikit pun. Sebagai balasan kau pada hari ini, pahala kau diberikan kepada dia. Begitulah timbangan pahala kau berkurangan seiring dengan betapa ramainya manusia yang kau telah zalimi di dunia tanpa sempat kau meminta maaf kepada mereka.

 

 

“Mak cik, saya nak karipap RM5.” Kau menghulur not berwarna hijau kepada wanita tua itu.

“Eh, berapa biji ni mak cik. Sikit sangat.” Terkedu mak cik tadi mendengar ayat yang keluar dari mulut kau.

“Masih 4 seringgit.”

“Tak boleh beri percuma dua ketul ke mak cik? Saya beli banyak ni. RM5. Patut mak cik beri percuma sikit kepada pelanggan mak cik yang beli banyak. Patutlah tak kaya-kaya. Kedekut.” Kau berlalu pergi selepas menghambur kata menyiat jiwa wanita tua tadi.

 

Timbangan pahala kau sudah tiada lagi. Kosong. Tiada pahala kau yang bersisa untuk kau ‘meminta maaf’ kepada mak cik yang kau sakiti hatinya ketika di dunia.

Tiba-tiba timbangan dosa kau semakin memberat. Sudahlah pahala tiada, dosa semakin bertambah. Bagaimana jadi begini? Kau melihat aliran dosa mengalir kepada kau itu berpunca dari susuk wanita yang kau kenal wajahnya. Itulah wajah yang kau pernah hina ketika membeli karipap di warung kecilnya dulu. Dosanya beralih kepada kau kerana kau sudah tiada pahala untuk diberikan sebagai balasan kecabulan mulut kau sendiri ketika di dunia. Seakan baru petang semalam kau membeli karipap mak cik itu, kau menyesal kerana tidak fikir sebelum bertindak. Kau menyesal tidak meminta maaf ketika masih ada hayat dikandung badan. 

 

“Aku dapat buku tangan kanan. Alhamdulillah.” Kau mendengar suara kegembiraan itu dari wajah manusia yang berada tidak jauh dari kau. Begitu jelas riak kegembiraan di wajahnya. Bersih dan ceria. Tidak lekang senyuman di wajah-wajah yang jelas di mata kau mereka sedang memegang buku itu di tangan kanan. Kau mahu kegembiraan itu. Namun itu hanya sia-sia.

Penyesalan yang kau rasakan sudah tidak berguna lagi. Di negeri abadi ini, tiada tempat kembali untuk beramal dan memberatkan timbangan amal. Hanya ada balasan yang menanti. Di sini, kau muflis. Tindakan kau di dunia seakan kau perlekehkan hadis nabi.

Kezaliman tidak akan pernah dilupakan Allah, meskipun manusia begitu mudah melupakannya. Hari inilah bukti Allah tidak lupa. Hisab sedang berlaku, di mana pahala orang yang menzalimi akan diserahkan kepada orang yang dizalimi hinggan kezaliman itu habis terbalas.

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah menceritakan kondisi orang muflis (bangkrup).

 

أَتَدْرُونَ مَنِ الْمُفْلِسُ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لَا دِرْهَمَ لَهُ وَلَا مَتَاعَ فَقَالَ إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي مَنْ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ

 

“Tahukah kalian siapa muflis (orang yang bangkrup) itu?”

 

Para sahabat menjawab, “Muflis (orang yang tiada apa-apa) itu adalah yang tidak mempunyai wang mahupun harta benda.”

 

Kemudian Nabi ﷺ menjelaskan,

 

Muflis (orang yang bangkrup) dari umatku ialah, orang yang datang pada hari Kiamat membawa (pahala) soalat, puasa dan zakat, namun (ketika di dunia) dia telah mencaci dan (salah) menuduh orang lain, makan harta, menumpahkan darah dan memukul orang lain (tanpa hak). Maka orang-orang itu akan diberi pahala dari kebaikan-kebaikannya. Jika telah habis kebaikan-kebaikannya, maka dosa-dosa mereka akan ditimpakan kepadanya, kemudian dia akan dilemparkan ke dalam neraka” (HR. Muslim 6744 & Ahmad 8029).


Comments

Post a Comment