Islam datang memartabat wanita.

 

Wanita dalam  Al Quran

Pada tahun 1908, ada satu bantahan dan protes dalam kalangan wanita di Amerika Utara. Bantahan tersebut telah diketuai oleh sekumpulan wanita dari Parti Sosialis Amerika Syarikat dan kemudiannya ia bertukar menjadi hari rasmi bagi golongan wanita.

Apa usul yang mereka bawa?

Hak mengundi.

Namun demikian, tarikh asal sambutan tersebut diadakan adalah pada 28 Februari, tetapi bermula pada tahun 1911, Hari Wanita mula di sambut pada 19 Mac  di Jerman, Austria, Denmark, Jerman dan Switzerland yang melibatkan himpunan besar-besaran dalam kalangan wanita.

Kali ini mereka menambah lagi beberapa perkara dalam usu mereka.

1. Hak untuk mengundi.

2. Memegang jawatan awam.

3. Hak wanita untuk bekerja, untuk menyertai latihan vokasional dan untuk menamatkan diskriminasi dalam pekerjaan.

Pada tahun 1913 dan 1914, Hari Wanita Antarabangsa juga menjadi mekanisme untuk membantah Perang Dunia Pertama.

Sebagai sebahagian daripada pergerakan keamanan, wanita Rusia menyambut Hari Wanita Antarabangsa pertama mereka pada bulan Februari. Tetapi di Eropah, sambutan diadakan pada atau sekitar 8 Mac tahun berikutnya, wanita mengadakan perhimpunan sama ada untuk membantah peperangan atau untuk menyatakan solidariti dengan aktivis lain.

Kemudian pada tahun 1917, wanita di Rusia sekali lagi memilih untuk memprotes dan mengadakan mogok untuk “Roti dan Damai” (Bread and Peace) pada bulan Februari (yang jatuh pada 8 Mac pada kalendar Gregorian).

Akhirnya, Czar menyerahkan diri dan kerajaan sementara memberi hak kepada wanita untuk mengundi. Bermula pada tahun 1975, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mula merayakan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac yang berterusan sehingga pada hari ini.

Tema Hari Wanita tahun lepas, "Seimbang Untuk Sejahtera".

Tema pada tahun ini, " Wanita Bangkit Mendepani Cabaran".

Apa sebenarnya yang "wanita" perlukan dalam kehidupan?

Apakah cabaran yang wanita perlu lalui dalam hidup?

Apakah motivasi terbaik untuk wanita sepanjan kehidupan?

Benarkah kita perlu menuntuk hak kesamarataan gender dalam kehidupan untuk kekal relevan dan dihargai?

Sedangkan telah Allah ciptakan wanita dan lelaki itu berbeza dari segi tuntutan fizikal dan tuntutan emosinya.

Sedangkan dalam Al Quran itu sendiri Allah mengangkat darjat dan martabat wanita secara spesifik.

Jarang kita bawakan perspektif Al Quran dalam bercerita tentang watak dan perwatakan wanita dalam kehidupan.

Fungsi wanita.

1. Wanita sebagai hamba Allah.

Ini yang paling utama. Paling penting, seorang wanita itu sendiri perlu jelas hakikat kehidupannya di dunia menjadi hamba Allah. Jika dia memahami hakikat ini, maka dia akan terlepas dari menjadi hamba kepada manusia, harta, pemikiran dan perspektif manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (Hawa), dan juga yang membiakkan daripada kedua-duanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati kamu.” (Surah an-Nisa’, ayat 1)

2. Wanita akan haid.

"Mereka bertanya kepadamu tentang haid.  Katakanlah (darah) haid adalah kotoran, maka menjauhlah kalian dari istri kalian di tempat keluarnya  haid.  Dan janganlah kalian mendekati mereka sampai mereka suci.  Jika mereka telah bersuci maka datangilah (campurilah) mereka sesuai dengan cara yang diperintahkan Allah kepada kalian.  Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan orang-orang yang menyucikan diri.” (Surah Al Baqarah ayat 222)

Jika seorang wanita itu memahami haid yang mereka alami itu adalah satu ketentuan dari Allah, dan mereka hadapi dengan sabar, maka pahala buat mereka.

Kita patuh dan sabar untuk tidak solat kerana kita sedang haid,  kita dapat pahala.

Kita patuh dan sabar menahan sakit didatangi haid, kita dapat pahala.

Sayangnya Allah pada kita kan?

Saat kita tak buat apa apa pun, tetap Allah nak beri jalan untuk kita meraih pahala.

3. Wanita akan mengandung.

"Dan Allah menciptakan kamu dari tanah kemudian dari air mani, kemudian Dia menjadikan kamu berpasangan (laki-laki dan perempuan). Dan tidak ada seorang perempuanpun mengandung dan tidak (pula) melahirkan melainkan dengan sepengetahuan-Nya. Dan sekali-kali tidak dipanjangkan umur seorang yang berumur panjang dan tidak pula dikurangi umurnya, melainkan (sudah ditetapkan) dalam Kitab (Lauh Mahfuzh). Sesungguhnya yang demikian itu bagi Allah adalah mudah. "

Quran surah al Fatir ayat 11.

Sepanjang proses kehamilan, pahala sabar itu berterusan sehingga saat kelahiran.

4. Wanita melahirkan.

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)".

(Surah al-Ahqaf: 15)

Bila dah hamil, pasti akan tiba saat melahirkan.

5. Wanita akan menyusukan bayi.

“Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: Susukanlah dia, dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan)lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan

jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan

mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya

menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami”.

(Quran surah al Qasas ayat 7)

Sepanjang proses penyusuan, ada turun naik ujian untuk wanita, sepanjang tempoh itu jugalah jalan pahala untuk kita.

6. Wanita sebagai Rabbul Bayt.

Rasulullah SAW bersabda: “Seorang wanita adalah pengurus rumah tangga suaminya dan anak-anaknya, dan ia akan dimintai pertanggungjawaban atas kepengurusannya.” (HR Muslim)

Kita akan ditanya kelak atas kuasa yang Allah beri kepada kita sebagai pengurus rumah tangga.

Di mana posisi wanita dalam masyarakat?

1. Wanita untuk dilindungi oleh lelaki.

Allah SWT berfirman dalam QS. An-Nisa ayat 34 yang ertinya:

“Laki-laki (suami) itu pelindung bagi perempuan (istri), karena Allah telah melebihkan sebagian mereka (laki-laki) atas sebagian yang lain (perempuan) , dan karena mereka (laki-laki) telah memberi nafkah dari hartanya.“

2. Wanita sebagai anugerah untuk dijaga.

Allah SWT berfirman dalam QS. An-Nahl ayat 72 yang aertinya:

“Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu dari istri-istri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu, dan memberimu rezki dari yang baik-baik. Maka mengapakah mereka beriman kepada yang bathil dan mengingkari nikmat Allah?"

Banyak watak dan perwatakan yang Allah berikan kepada kita untuk kita jadikan panduan dan pengajaran dalam hidup.

Sebenarnya, ramai wanita yang kita boleh jadikan motivasi dalam mengharungi mehnah kehidupan. Sebagai muslim, merekalah contoh paling terdekat yang kita boleh ambil.

1. Maryam. Ibu kepada Nabi Isa.

Kecekalan hatinya menjaga maruah diri dan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah perlu kita contohi.

Kita perlu mendidik diri dan anak perempuan kita agar sentiasa ada perasaan malu, kerana malu itulah perisai diri seorang muslimah.

2. Asiah isteri Firaun.

Ketika mana hatinya telah ditambat oleh tali cinta dan keyakinan kepada janji Allah, ketika itulah sebenarnya dia telah berjaya keluar dari cengkaman kezaliman Firaun.

3. Hajar isteri Nabi Ibrahim a. s

"Adakah ini perintah dari Tuhan mu?" Ibrahim mengiyakan lalu dia reda dengan ketentuan. Allah pasti tidak mensia-siakan kehidupan mereka.

4. Yukabid ibu Nabi Musa.

Yakinnya dia kepada janji Allah, dia patuh melepaskan Musa ke dalam sungai demi perintah dan suruhan dari Allah untuk menyelamatkan Musa dari dibunuh. Lalu mereka dipertemukan semula.

5. Sayyidah Khadijah isteri Rasulullah.

Wanita pertama yang memeluk Islam pada peringkat awal perkembangan Islam. Khadijah menyerahkan seluruh harta, kekayaan dan jiwa raganya demi membantu Rasulullah menyebarkan dakwah. Pedagang Muslimah yang menjaga maruah, harga diri dan berjaya dalam kehidupannya.

Dipercayai bahawa Nabi Muhammad sendiri bersabda, menurut hadith Sahih Muslim: “Tuhan Yang Maha Esa tidak pernah mengurniakanku seorang yang lebih baik dalam hidup ini daripada dia.Dia menerimaku apabila orang menolak aku; dia mempercayaiku ketika orang meragui aku; dia berkongsi harta denganku apabila orang mengurangiku; dan Tuhan mengurniakan zuriatku hanya dengan dia.”

6. Sumayyah isteri Yasir.

Kekuatan hatinya mempertahankan keimanan kepada Allah hingga nyawanya sanggup digadaikan. Diseksa dan disula demi mempertahankan keimanan kepada Allah

7. Aisyah Bint Abu Bakr.

Aishah binti Abu Bakar (wafat : 678) seharusnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Sumbangan beliau terhadap budaya ilmu sangat besar dan beliau memainkan peranan penting ketika hayat dan selepas kematian suaminya, Rasulullah SAW.

Beliau adalah gadis bijak yang mempunyai daya ingatan yang baik sejak dari kecil lagi dan dicatatkan bahawa beliau telah meriwayatkan 2210 hadis.

 Aishah telah meriwayatkan sejumlah hadis yang besar setanding dengan Abu Hurairah, Ibn ‘Umar dan lain-lain. Beliau mempunyai daya kefahaman yang tinggi terhadap hukum-hukum al-Quran, Sunnah, Fiqh, Fara’id dan sebagainya, dan juga mahir di dalam sya’ir dan kesenian Islam.

 Sepanjang hayatnya digunakan untuk menegakkan syiar Islam sehinggalah beliau kembali ke Rahmatullah ketika umurnya mencecah 67 tahun

8. Rufaidah.

Jururawat Islam pertama di medan perang. Kepakaran di dalam bidang perawatannya disedari oleh Rasulullah dan beliau diizinkan oleh Rasulullah ke medan tempur untuk merawat tentera Islam yang tercedera.

9. Khawla b. al-Azwar (wafat : 639)

Seorang lagi sahabat Nabi Muhammad SAW. Beliau terkenal kerana perjuangannya dalam Peperangan Yarmuk (636) menentang Byzantine. Menurut riwayat penaklukan Islam yang terkemudian, beliau memiliki tahap kemahiran dan kepahlawanan yang setaraf dengan panglima Islam termasyhur, Khalid bin al-Walid.

Namun, terdapat banyak tokok-tambah dan butiran kurang jelas dari sumber tersebut, yang menimbulkan keraguan di kalangan sarjana sama ada beliau sebenarnya pernah wujud ataupun tidak!

Walau bagaimanapun, perlu diiktiraf bahawa kepahlawanan wanita diberi penekanan oleh sarjana seperti al-Waqidi dan al-Azdi, yang menulis pada abad kelapan dan kesembilan. Malah, walaupun sekiranya beliau tidak pernah wujud, ia hanya membuatkan legenda beliau bertambah menarik.

10. Nusaybah binti Ka’ab al-Ansariyyah (wafat : 634)

Merupakan antara penganut Islam terawal di Madinah. Beliau dikenali sebagai Ummu Ammara dan berasal dari suku Bani Najjar. Beliau diingati kerana keberaniannya menyertai Perang Uhud menentang tentera Makkah.

Dengan bersenjatakan pedang dan perisai, beliau melindungi Nabi Muhammad SAW dari serangan musuh, bahkan mengalami kecederaan parah apabila menggunakan tubuhnya bagi mengelakkan serangan ke atas baginda.

Diriwayatkan bahawa beliau rebah pengsan setelah mengalami kecederaan yang kedua belas, dan apabila sedar (keesokan harinya di Madinah) persoalan pertama yang keluar dari mulutnya ialah “Adakah Nabi masih hidup?”

11. Zainab b. ‘Alī (wafat :  681)

Beliau adalah cucu perempuan Nabi Muhammad melalui anak perempuannya Fatimah (m. 633) dan suaminya ‘Ali bin Abi Talib (m. 661).

Beliau antara tokoh yang paling terkenal dan disanjungi dari Ahl al-Bayt (Keluarga Nabi) dan memainkan peranan penting semasa dan selepas Pertempuran Karbala (680), di mana abangnya al-Husain bin Ali, dan 72 anak saudara serta adik-beradiknya dibunuh oleh Bani Umayyah.

Pada waktu itu, beliau menjadi pemimpin Ahl al-Bayt dan pembela utama perjuangan abangnya, al-Husain. Di Kufa, beliau mempertahankan anak saudaranya – ‘Alī bin al-Husain – daripada dibunuh oleh penguasa kota tersebut, dan apabila berhadapan dengan Yazid bin Muawiyah di Damsyik, beliau memberikan ucapan yang begitu hebat di mahkamah kerajaan yang memaksa khalifah tersebut untuk membebaskan beliau dan banduan yang diambil di Karbala.

Kekuatan, kesabaran, dan kebijaksanaan beliau membuatkannya salah seorang wanita yang paling penting di zaman permulaan Islam.

Bacalah kisah mereka.

Sebagai Muslim, kita ada contoh terbaik yang paling dekat dengan kita. Mereka telah membuktikan hanya dengan keyakinan kepada janji Allah, itulah penguat semangat mereka untuk terus hidup dengan rasa taqwa kepada Allah hingga saat bertemu Allah semula.

Ke mana matlamat kita?

Setiap hari, kita bangun sebagai seorang wanita, kita perlu jelas akan misi dan visi kita sebagai wanita Muslim, kerana kita hamba Allah.

Selamat menjadi wanita yang dicintai Allah.

Moga kalian sentiasa dalam rahmatNya.

Peringatan buat diriku yang selalu alpa, lupa, selalu kalah dengan hawa. Kisah mereka boleh jadi penguat dan motivasi untuk kita.

#IslamdanWanita

Comments